Nasional

PM melawat seluruh negara minggu hadapan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke negeri-negeri mulai minggu hadapan untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, pada masa sama, Perdana Menteri juga akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama pimpinan utama negeri serta agensi.

“Perdana Menteri telah menetapkan bahawa agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertinggi beliau dalam perbincangan bersama pimpinan kerajaan negeri dan agensi.

“Sejak agenda ini diumumkan dalam Belanjawan 2023, beliau telah menggerakkan semua setiausaha politik ke negeri-negeri, bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul berkata, usaha itu merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan perumahan, serta memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember 2024, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar dan beliau yakin kejayaan itu akan diperluas ke negeri-negeri lain.

Dalam pada itu di sela kesibukan tugas di pejabat, Perdana Menteri menjengah ke Bazar Ramadan Jalan Kuching, Taman City petang tadi sambil meninjau harga dan kualiti makanan yang ditawarkan.

“Peluang yang ada ini saya gunakan juga dengan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung. Saya turut membeli sedikit juadah untuk berbuka puasa.

“Saya menggesa pihak berkuasa untuk giat dan lebih agresif melakukan pemantauan, terutamanya di bazar-bazar Ramadan di seluruh negara bagi memastikan harga yang ditawarkan berpatutan dengan kualiti juadah,” kata Perdana Menteri dalam hantaran ke media sosialnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button