
Pegawai tribunal rayuan Kastam ditemukan maut di pejabat perbendaharaan
SEORANG pegawai Tribunal Rayuan Kastam Kementerian Kewangan ditemui maut di Pejabat Perbendaharaan, Putrajaya, semalam.
Mangsa, seorang lelaki berusia 45 tahun yang sebelum ini bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ditempatkan sebagai pegawai tribunal kastam, ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan leher dan kaki terjerut menggunakan ‘cable tie’.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 10.56 pagi.
“Setakat ini, kematian pegawai berkenaan diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian. Hasil siasatan awal juga mendapati si mati dipercayai menjerut leher dan kakinya sendiri.
“Namun, punca sebenar kematian akan diketahui selepas proses bedah siasat yang dijadualkan berlangsung esok,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi hanya menunjukkan pergerakan mangsa ke pejabatnya, tanpa sebarang rakaman kejadian yang berlaku semasa kematian.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi, Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Datuk Rusdi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Putrajaya di talian 03-8886 2222.
Sumber turut memaklumkan bahawa mangsa telah memasuki pejabatnya pada jam 9 malam Isnin lalu berdasarkan rekod akses masuk yang dikesan, namun tiada rekod keluar direkodkan sejak itu.