fbpx
Politik

Usul lantik senator ditolak tiada kena mengena kumpulan berbeza

PKR hari ini menjelaskan bahawa kumpulan berbeza dalam parti tiada kena mengena dengan keputusan sidang Dewan Undangan Negeri Melaka menolak usul untuk melantik Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Datuk Halim Bachik sebagai senator.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR itu yang tidak hadir ketika undian usul berkenaan mendakwa mereka telah memberi makluman awal mengenai ketiadaan mereka dalam dewan sewaktu undian berlangsung.

“Ia mungkin kerana berlaku sedikit masalah komunikasi dalaman dan saya percaya ia dapat diselesaikan kerana calon yang dikemukakan adalah daripada PKR sendiri, apa pun yang berlaku keseluruhan proses dalaman itu kita akan lalui untuk mengetahui permasalahannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Hari Warga Emas 2019 anjuran Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian negeri Melaka di sini, hari ini.

Speaker DUN Melaka Datuk Omar Jaafar menolak usul pemilihan Senator itu selepas 13 ADUN menolak, 12 ADUN menyokong dan tiga ADUN berkecuali.


Dua ADUN daripada PKR itu ialah Datuk Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya), dan Datuk Muhamad Jailani Khamis (Rembia), manakala G. Saminathan (DAP-Gadek) dibenarkan tidak menghadiri persidangan itu kerana sedang menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

Shamsul Iskandar berkata PKR turut mengambil serius tentang perkara itu dan beliau percaya dalam masa terdekat kedua-dua mereka akan dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai hal itu.

Beliau berkata beliau juga telah bertemu Ketua Menteri, Adly Zahari berhubung perkara pemilihan senator itu. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button