Usaha Sime Darby Property terajui biodiversiti bandar diiktiraf
SIME Darby Property Berhad (Sime Darby Property) telah diiktiraf atas usahanya dalam menerajui biodiversiti bandar di FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2024 di Singapura.
Pusat Ilmuan Hutan Hujan Tropika Elmina (Elmina Rainforest Knowledge Centre atau ERKC), meraih Anugerah Perak dalam Kategori Alam Sekitar, yang mengiktiraf sumbangan Syarikat kepada literasi alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti bandar serta impak kemampanan positifnya terhadap industri hartanah Malaysia.
Dianjurkan oleh Fédération Internationale des Administrateurs de Bien-Conselis Immobiliers (FIABCI), FIABCI World Prix d’Excellence Awards mengiktiraf projek-projek yang mempamerkan kecemerlangan dalam semua disiplin hartanah yang diguna pakai dalam pembangunan mereka.
“ERKC mempamerkan dedikasi kami untuk memelihara, memulihara dan mengukuhkan ekosistem yang sihat di semua perbandaran dan pembangunan kami”, kata Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican.
Katanya, tujuan ERKC dibangunkan termasuk memupuk biodiversiti bandar melalui tindakan pemuliharaan, penyelidikan dan pembangunan bersepadu.
Terletak di Bandar Elmina, ERKC yang berkeluasan 1.09 ekar merupakan pusat sehenti untuk penyelidikan perhutanan, pemuliharaan, pendidikan alam sekitar, rekreasi, ekopelancongan dan pelbagai inisiatif kelestarian lain.
ERKC menyelia pendekatan integrasi untuk perancangan perbandaran, mengimbangi keperluan masyarakat dan kesihatan ekosistem.
Terletak di dalam Taman Pusat Elmina seluas 300 ekar dan bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Cherakah seluas 2,700 ekar, EKRC telah dilancarkan pada Oktober 2020 dengan kerjasama Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC).
Projek ini telah pun membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam usaha pemuliharaan, dengan penanaman 187 spesies tumbuhan, termasuk 35,000 benih dan 10,000 anak-anak pokok di Elmina Living Collection Nursery (“ELCN”).
Kebanyakkan anak benih dan anak pokok yang ditanam di ERKC telah dibawa ke kawasan-kawasan lain di Selangor untuk usaha pemuliharaan.
Lebih daripada seribu anak benih dan anak pokok tersebut telah ditanam berhampiran Empangan Klang Gates di sepanjang Sungai Klang. Inisiatif ini berada dalam landasan yang baik bagi mencapai objektif Syarikat untuk menanam 50,000 pokok yang disenarai merah oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemeliharaan Alam Semula Jadi (International Union for Conservation of Nature atau IUCN) menjelang 2030.
Tambahan kepada pemuliharaan alam sekitar, ERKC dan ELCN telah menjadi pusat tumpuan bagi penglibatan dan pendidikan komuniti, dengan menganjurkan pelbagai program yang menggalakkan kesedaran mengenai isu alam sekitar serta penyertaan aktif dalam usaha pemuliharaan.
Kumpulan minat komuniti (community interest group) ‘The Friends of ERKC’ merupakan contoh terbaik bagi inisiatif ini, dengan menarik lebih 10,000 ahli, termasuk pelajar, pendidik dan wakil daripada pelbagai badan korporat dan pihak berkuasa.
Sime Darby Property kekal komited dalam Visinya untuk Memajukan Bidang Hartanah Sebagai Daya Usaha Untuk Perkembangan Bersama, Serta Memulihara Sumber Planet.
“Biodiversiti bandar melangkaui bukan sahaja flora dan fauna; ia mengenai kesihatan persekitaran kita dan kesannya terhadap semua bentuk kehidupan. Anugerah ini menekankan usaha kami dalam menghubungkan komuniti dan alam semula jadi untuk meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan manusia serta kesihatan planet.
“Ribuan terima kasih kepada pihak FIABCI kerana mengiktiraf potensi kami, dan kami akan terus menyampaikan kebolehidupan dan kelestarian melalui pembangunan kami untuk manfaat semua pihak,” tambah Azmir. – SM