Nasional

Usaha perkasa wanita semakin mencabar – Raja Puan Muda Perlis

Usaha memperkasakan wanita menjadi semakin mencabar hari ini di mana masih terdapat beberapa halangan yang perlu ditangani dalam usaha mengangkat martabat wanita ke aras lebih tinggi. Ini termasuklah stereotaip terhadap kepemimpinan wanita, isu-isu penderaan, gender, perbuatan menyasarkan wanita sebagai mangsa seperti pemerdagangan manusia, eksploitasi seks, dan keganasan rumah tangga.

Laporan ’Global Gender Gap Index 2020’ oleh ’World Economic Forum’ (WEF), menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-104, daripada 153 negara. WEF menyasarkan bahawa rantau Asia Timur dan Pasifik, memerlukan lebih kurang 163.4 tahun lagi, untuk menutup sepenuhnya jurang gender ini. ’McKinsey Global Institute’ juga, telah mengeluarkan laporan, menyebut ekonomi global akan terjejas sekiranya wanita yang merupakan separuh daripada populasi tenaga kerja dunia, tidak dapat menggunakan sepenuhnya potensi ekonomi mereka.

Isu wanita merupakan agenda semua. Atas sebab inilah, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) komited menyokong usaha-usaha bagi membuka mata semua untuk membela hak wanita. Cerminan dedikasi dapat dilihat melalui ratifikasi ’Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita’ dan ’Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing’ yang turut diterjemahkan ke dalam Dasar Wanita Negara. Justeru, berbekalkan panduan dalam dokumentasi tersebut, kita perlu akui banyak lagi usaha yang perlu dilipatgandakan.

Bertepatan aspirasi tersebut, YTF menyambut baik usaha ini dengan mengadakan webinar bersiri pada setiap bulan dengan penglibatan komuniti pelajar setempat dengan mengangkat tema ini.

Demikian titah perutusan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi YTF sempena kempen ‘Perlis Hebat ; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ yang dilaksanakan bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi memperingati ‘Hari Wanita Sedunia’ yang disambut pada 8 Mac setiap tahun bagi meraikan pencapaian wanita dan menggalakkan kesaksamaan jantina.

Untuk rekod, ’Kerangka 4K Pemerkasaan Wanita’ oleh Jabatan Pembangunan Wanita memberi fokus pelaksanaannya bagi tahun 2021 tertumpu kepada meningkatkan kerjasama dengan ramai pihak dalam aspek perlindungan wanita. Ini termasuklah memperkasakan penglibatan komuniti dalam menyokong keperluan rakyat dari sudut psikososial.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Puan Muda menitahkan ucapan penghargaan kepada para peserta Webinar “Women in Search of Excellence” (WISE) Siri Ke-6 bertemakan ‘Peranan Wanita dalam Peningkatan Kualiti Pendidikan’ anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKPs) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah termasuk dari kalangan kaum wanita Malaysia yang kini bermastautin di luar negara baru-baru ini.

Ahli-ahli panel yang turut serta meluangkan masa berkongsi pandangan dan pengalaman penuh berharga dan memanfaatkan semua itu terdiri daripada Dr. Beverley Lim Høeg (Denmark), Norzaini Zulkefli (Amerika Syarikat), Juita Jalal Abidin dan Nur Azlini Yusoff (India), Muhainadzri Mohamad (Pakistan), Maizura Ailin Abdullah (Sweden), Nur Atikah Anuar (Poland), Rosmizana Ismail dan Fatimah Mat Aruf (Australia), Roslina Abdullah (Sepanyol), Nur Syaida Firzana Mohamad I’sham dan Nur Syaida Batrisyia Mohamad I’sham (New Zealand), Shahida Jaafar (Qatar) serta Sarina Böhler (Switzerland).

Webinar Siri Ke-7 YTF adalah dijadualkan pada rabu 23 Mac 2022 yang akan datang nanti dan bakal dihoskan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi INSKEN. Perasmian pembukaan akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

(Visited 346 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button