UPSI sahut inisiatif Micro Credential KPT
KEPESATAN perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0 hari ini memperlihatkan potensi besar usaha memperkembang pendidikan dalam ekosistem industri tanah air.
Demi menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkasakan agenda pendigitalan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyahut inisiatif Micro Credential yang diusahakan KPT untuk melestarikan perkembangan pendidikan semasa.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sebagai universiti pendidikan terulung negara, UPSI sentiasa cakna terhadap kepentingan pendidikan dengan memberi kerjasama jitu kepada mana-mana pihak untuk mencapai hasrat KPT.
“Melalui inisiatif Micro-Credentials yang telah dilaksanakan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) membolehkan calon-calon pelajar mengambil kursus yang sesuai di institusi pengajian tinggi, sekaligus memanfaat kerjasama industri untuk menghasilkan produk-produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan”
“Menerusi manfaat yang sama, sekaligus dapat membantu menyokong edutourism dan menawarkan akses pembelajaran dalam talian kepada pelajar di luar negara, sekaligus membantu melonjakkan usaha negara untuk mencapai 250 ribu pelajar antarabangsa menjelang tahun 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian usai majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara MQA dengan Pemberi Pengajian Tinggi (PPT) yang dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Dewan Za’ba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya.
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, Profesor Madya Dr. Maizatul Hayati Mohamad Yatim berkata, UPSI juga komited membangunkan kursus Micro-Credentials menerusi 20 buah kursus ditawarkan di sembilan buah fakulti di UPSI.
“UPSI juga merancang untuk menghasilkan 10 kursus Micro-Credentials baharu berbentuk Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC), selain tiga kursus Micro-Credentials yang masing-masing dibangunkan oleh pensyarah dari Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif ( oleh En. Salman Firdaus Sidek yang bertajuk Kemahiran Pemikiran Komputasional, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi oleh Dr Nooraisah Katmun @ Katmon yang bertajuk Integriti dan Rasuah dan dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi oleh Prof. Madya Dr. Manonmani Devi a/p M.A.R. Annamalai yang bertajuk “Tatabahasa Puisi Klasik Tamil,” jelasnya.
Pelancaran tiga kursus Micro-Credentials pertama di UPSI ini akan menggunakan pelantar UPSI MOOC yang boleh dilayari secara percuma di https://mooc.upsi.edu.my. – SM