BeritaPendidikan

UPSI bangunkan aplikasi tingkat kualiti kerja

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) berjaya membangun dan melaksanakan sepenuhnya sistem aplikasi  dalam persekitaran sumber terbuka yang dikenali Sistem Maklumat Bersepadu Universiti (SMBU).

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata aplikasi yang dibangunkan oleh Pusat ICT itu berpotensi dikomersialkan dengan adaptasi di agensi yang mempunyai pengurusan dan proses kerja yang sama, malah usaha ini diharap menjadi pemangkin ke arah meningkatkan pelaksanaan penyelesaian berasaskan sumber terbuka di agensi sektor awam dan mewujudkan kolaboratif bersama komuniti antara agensi sektor awam, swasta, akademia dan industri.

Sementara itu Ketua Pegawai Maklumat, Norazizah Othman menyatakan sistem pengurusan maklumat yang serba lengkap dan komprehensif itu menyokong semua aktiviti teras universiti menggunakan pangkalan data tunggal.

Katanya, SMBU terdiri daripada enam sistem utama iaitu Sistem Maklumat Kewangan, Sistem Maklumat Akademik dan Rekod Pelajar, Sistem Maklumat Sumber Manusia & Pentadbiran, Sistem Pengurusan Penyelidikan Bersepadu, Sistem Pembelajaran Elektronik dan Portal MyUPSI.

Menurut beliau perubahan kepada persekitaran sumber terbuka itu selaras dengan Pelan Pendigitalan UPSI 2021-2025 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan dan jaminan perkhidmatan SMBU yang juga bertujuan mencapai aspirasi negara menerusi pemanfaatan teknologi terkini berasaskan sumber terbuka.

“Projek migrasi SMBU ke persekitaran sumber terbuka adalah menggunakan kepakaran dalaman UPSI sepenuhnya serta graduan daripada Program Ijazah Sarjana Muda  Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan), Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI yang dilantik sebagai pembangun sistem bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan sambil mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang boleh diserap ke dalam industri,” katanya.

Projek itu dilaksanakan secara berfasa melibatkan migrasi sistem aplikasi dan pangkalan data bermula pada akhir 2018 dan selesai pada November 2021.

Kejayaan pengaplikasian kepada sumber terbuka ini bermula dengan pelaksanaan Sistem Maklumat Kewangan (MyFIS Neo) yang mula digunakan pada tahun 2020.

Beliau berkata SMBU dibangunkan semula menggunakan rangka kerja pembangunan sistem terkini serta pengukuhan aspek keselamatan maklumat bagi memastikan keserasian dengan keperluan dan perubahan teknologi.

Katanya lagi, menerusi pelaksanaan aplikasi sumber terbuka, UPSI berjaya melakukan penjimatan kos tahunan pelesenan produk generik melebihi RM500,000.

Ini secara tidak langsung mampu mengurangkan kos operasi universiti dan mampu menggalakkan inovasi menerusi pemanfaatan teknologi ICT.

(Visited 338 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button