Rencah Hidup

UPSI anjur webinar Perkongsian Inovasi Sains bantu pengajaran dan pembelajaran (PdP)

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Alumni Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEP&A) mengorak langkah ke hadapan apabila sekali lagi tampil bekerjasama dengan Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) menganjurkan webinar Perkongsian Inovasi Anak Kandung Suluh Budiman.

Perkongsian yang disiarkan secara langsung di pelantar saluran Youtube Citra Bestari KMM dan facebook Pusat Alumni itu telah menarik ramai peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan pelajar kedua-dua pusat pengajian tersebut.

Penyelaras program, Marziah Mohamad berkata, perkongsian ini merupakan pembentangan inovasi yang mengangkat tema sains & teknologi dalam bahan bantu mengajar subjek berkaitan Kimia, Matematik dan Sains Komputer.

“Selain memberi peluang kepada pensyarah kolej menyebarluas inovasi bahan bantu mengajar, sesi perkongsian inovasi ini diharapkan memberi maklumat berguna kepada para pelajar terutamanya mahasiswa yang akan bergraduat dalam bidang pendidikan.

“Bukan itu saja, program ini secara tidak langsung, dapat memberi perangsang inspirasi kepada peserta untuk menghasilkan inovasi yang dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Jelasnya, terdapat empat tajuk pembentangan inovasi yang disampaikan oleh pensyarah Kumpulan Citra Bestari, KMM terdiri daripada sembilan pensyarah Subject Matter Expert (SME) dan sembilan orang Pensyarah Cemerlang (PC) yang berkhidmat di Kolej Matrikulasi Melaka antaranya Inovasi Bahan Bantu Mengajar subjek Kimia dan Sains Komputer serta Inovasi Teknik Mengajar Matematik.

Ujarnya, ada di antara inovasi yang dihasilkan telah menyertai pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga merangkul pelbagai anugerah emas, perak dan platinum mengikut kategori masing-masing.

“Istimewanya lagi, keempat-empat pembentang inovasi yang hadir pada hari ini merupakan alumni Anak Kandung Suluh Budiman, gelaran untuk bekas pelajar universiti pendidikan tersohor ini,” ulasnya lanjut.

Timbalan Pengarah Pusat Alumni UPSI, Rasyidi Johan pula berkata, semasa pembukaan sesi webinar turut menyatakan program kerjasama antara alumni UPSI dan pihak Kolej Matrikulasi Melaka sebagai langkah strategik pelaksanaan program yang tepat di kala zaman pandemik, serta selaras menyahut cabaran revolusi perindustrian ke empat.

“Inisiatif program anjuran kerjasama amat penting dalam membantu melestarikan perkembangan inovasi berkaitan pendidikan apatah lagi pusat pengajian terulung ini banyak melahirkan ilmuan dalam bidang berkaitan,” jelas beliau dalam kenyataan.

“Sebagai salah sebuah pusat tanggungjawab yang mengesan perkembangan alumni, Pusat Alumni UPSI turut menggariskan inovasi sebagai salah satu daripada sepuluh senarai indeks prestasi utama tahunan unit di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEP&A).

“Antara teras pelaksanaan di bawah merealisasikan projek inovasi alumni ialah seperti Alumni Entreprenuer, Alumni Care Centre, Alumni Idea Storage dan Alumni Curricular Vitae Online,” tambahnya. -SM

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button