Ekonomi

Untung bersih Samaiden Group naik 291 peratus

SAMAIDEN Group Berhad (Samaiden), pakar tenaga boleh diperbaharui (RE) merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 291.22 peratus kepada RM4.19 juta berbanding RM1.07 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022.

Samaiden yang terlibat dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltaik solar (PV) dan loji jana kuasa, turut merekodkan peningkatan hasil sebanyak 385.03 peratus kepada RM43.80 juta bagi tempoh yang sama.

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata, pihaknya amat berminat dalam RE memandangkan galakan oleh kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida di bawah kitaran keempat program Solar Berskala Besar (LSS4).

“Ini telah menggalakkan kami dari segi prestasi kewangan kami kerana kami telah memperoleh kira-kira RM300 juta kontrak EPCC di bawah skim LSS kitaran keempat, Pemeteran Tenaga Bersih dan skim Penggunaan Sendiri sejak permulaan TK2022,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, kejayaan meraih kontrak baharu itu menjadikan buku pesanan tertunggak semasa kepada RM410 juta, yang akan menyumbang secara positif kepada kedudukan teratas dan bawah Kumpulan Samaiden dalam tempoh tiga tahun akan datang.


Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2022 , Samaiden mencatatkan peningkatan 243.07 peratus dalam hasil kepada RM97.04 juta berbanding RM28.28 juta dalam tempoh yang sama 2021, manakala PBT naik 103.38% kepada RM11.62 juta berbanding RM5.71 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Pui Hee menambah, selain daripada memanfaatkan kecekapan dan pengalaman teras Samaiden dalam menyediakan perkhidmatan EPCC akhir ke akhir untuk projek PV solar, pihaknya sedang mengembangkan jualan dan sokongan teknikal di dalam negara ini dan di Vietnam.

“Kami juga telah mempelbagaikan dalam penyediaan perkhidmatan EPCC untuk loji jana kuasa TBB biojisim dan kami sedang membangunkan loji jana kuasa biogas 1.2 MW di Kelantan yang akan memberikan Kumpulan Samaiden aliran pendapatan berulang daripada penjualan tenaga elektrik yang dihasilkan oleh loji jana kuasa itu kepada grid kuasa negeri.” katanya.

(Visited 89 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button