NasionalPendidikanpilihan

UniMAP lancar program Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) terus komited menyahut inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan melaksanakan program Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa (JMKMSiswa).

Pelancaran program JMKMSiswa peringkat UniMAP itu disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli di Pejabat Naib Canselor, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin di Kampus Pauh Putra, Arau, Perlis.

Prof Dr Zaliman berkata, UniMAP mendukung pelaksanaan program itu yang diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membabitkan peruntukan keseluruhan RM1.2 juta dengan anggaran peruntukan setiap Universiti Awam (UA) adalah RM60,000 daripada Kementerian Kewangan.

Tambah beliau, JMKMSiswa di UniMAP juga melibatkan 10 siri jualan dengan menawarkan potongan harga 20 peratus ke atas barang-barang keperluan harian pelajar bermula 2 November sehingga 18 Disember 2022 yang dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UniMAP dan Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan UniMAP.

“Bagi program kali ini, sebanyak lima premis mengambil bahagian yang turut membabitkan kerjasama dengan Pusat Perumahan Pelajar UniMAP iaitu Nur Concept Solution, ALMART dan Hidup Cergas Enterprise di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, MMash Iman Enterprise di Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman, serta A Gadget dan Dynamic Printing di Kompleks Tan Sri Aishah Ghani, Wang Ulu,” katanya dalam kenyataan di sini.


Pelancaran program Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa (JMKMSiswa) peringkat UniMAP.

Turut hadir ke gimik pelancaran JMKMSiswa itu ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor UniMAP, pengurusan tertinggi UniMAP, Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar (P3P) Dr Arif Anuar Mohd Salleh, Pengarah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan Dr Mohd Najmuddin Mohd Hassan dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Tambah beliau, bagi memudahkan akses pelajar terhadap keperluan harian mereka seperti makanan kering, buku dan peralatan alat tulis, cetakan, tambah nilai telekomunikasi dan aksesori telefon, kesemua premis yang terpilih itu berada dalam kawasan Kolej Kediaman.

“Inisiatif JMKMSiswa bukan sahaja dapat meringankan kos sara hidup pelajar malah dilihat mampu membantu meningkatkan hasil jualan premis yang terlibat kerana mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar-pelajar khususnya pelajar baharu yang mula mendaftar masuk ke UniMAP pada awal Oktober baru-baru ini,” kata beliau.

Sementara itu, Biro Kebajikan dan Kerohanian MPP UniMAP, Muhammad Emir Syahmi Zainal Abideen berkata pelajar-pelajar UniMAP menyambut baik inisiatif berkenaan kerana dapat menjimatkan kos kehidupan harian mereka.

“Sebelum ini ada premis yang mengadakan promosi diskaun seperti JMKMSiswa ini dan mendapat sambutan hangat, jadi inisiatif JMKMSiswa yang bermula bulan ini adalah amat dialu-alukan kerana dapat mengurangkan kos sara hidup kami di kampus.

“Antara yang mendapat sambutan ialah percetakan yang sering digunakan oleh para pelajar bagi menyiapkan tugasan dan tambah nilai telekomunikasi bagi memudahkan komunikasi antara pensyarah, rakan sekuliah mahupun keluarga,” kata beliau ketika ditemui selepas pelancaran JMKMSiswa UniMAP, di sini.

Terdahulu Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa (JMKMSiswa) peringkat kebangsaan dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pada 19 Oktober lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – SM

Artikel berkaitan > Mahasiswa UniMAP perlu matang, berjiwa kental – Raja Muda Perlis

(Visited 67 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button