NasionalpilihanTeknologi

Manfaatkan teknologi digital untuk masa depan ummah – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua pihak memanfaatkan teknologi digital demi kebaikan masa depan ummah.

Titah Baginda, sebagai persediaan masa depan melalui kemajuan teknologi digital haruslah ia diperhebatkan lagi oleh semua pihak sama ada sektor pendidikan atau perkhidmatan kerajaan agar setiap masyarakat sentiasa bersedia menempuh dunia yang semakin terbuka luas.

Demikian titah Baginda selepas berkenan menerima kunjungan mengadap Presiden Alif Society dari Mauritius, Dawood Auleear di Kangar baru-baru ini.

Hadir sama ke sesi tersebut ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ts Dr Zaliman Sauli, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail.


“Kesediaan masyarakat terhadap teknologi digital bukan hanya sekadar memenuhi keperluan hidup masa kini, tetapi adalah penting untuk mempersiapkan ummah untuk menghadapi masa depan yang semakin mencabar,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Di majlis yang sama Dawood mempersembakan harapan beliau supaya Raja Muda Perlis dapat berangkat menyampaikan titah ucaptama pada persidangan bertajuk ‘Digital Technologies For Future Education’ yang akan berlangsung di Port Luis, Mauritius pada pertengahan tahun hadapan.

Untuk rekod, Alif Society yang merupakan sebuah badan amal pernah menghantar beberapa orang pelajar cemerlangnya untuk melanjutkan pelajaran di UniMAP sebelum ini. – SM

Artikel berkaitan > Raja Muda Perlis berkenan sertai program kayuhan basikal amal Bank Rakyat, MAIPs

(Visited 57 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button