Nasional

UniMAP Laksana Teknologi GPS Rekod Kehadiran Staf Bagi Menangani Wabak Covid-19

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggunakan teknologi koordinat Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi merekodkan kehadiran stafnya mulai hari ini bagi menggantikan penggunaan sistem pengimbas biometrik di seluruh kampusnya.
Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, penggunaan GPS itu merupakan sebahagian daripada inisiatif mencegah penularan wabak Covid-19 yang kini telah dikelaskan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).


Jelas beliau, kaedah tersebut juga adalah bagi menggantikan kaedah thumb print yang dilihat tidak selamat dan mempunyai risiko penyebaran virus Covid-19 yang lebih tinggi.
“Semua pihak semakin berhati-hati ketika ini agar tidak terdedah kepada risiko jangkitan terutama melalui sentuhan. Justeru, sebagai langkah pencegahan dan dengan mengambil konsep check in lokasi di Facebook, saya telah meminta Ketua Pegawai Digital (CDO) UniMAP, Prof Ir. Dr. Anuar Mat Safar untuk memperkenalkan konsep yang sama bagi merekodkan kehadiran.
“Menerusi kaedah ini, lokasi-lokasi pejabat telah dimasukkan dalam sistem yang telah ditetapkan jarak GPS bagi memastikan ketelusan dalam merekod kehadiran dan data tersebut kemudiannya akan terus dimuatnaik ke dalam pangkalan data kehadiran staf,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, teknologi GPS tersebut mula diperkenalkan sewaktu Majlis Ucaptama Tahunan Naib Canselor 28 Februari lalu sebelum diteruskan dengan program perjumpaan mingguan bersama Pengurusan Tertinggi Universiti yang dianjurkan pada setiap hari Rabu.


Jelasnya, penggunaan teknologi tersebut bukan sahaja menjimatkan kos malah menjimatkan masa menunggu secara fizikal memandangkan semua proses dilaksanakan menggunakan telefon pintar masing-masing.
“Penggunaan ketika itu terhad kepada dua lokasi utama penganjuran majlis yang melibatkan kehadiran staf yang ramai sahaja. Namun bagi mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19, pengurusan universiti merasakan sudah tiba masanya teknologi tersebut digunapakai dalam urusan seharian.
“Memandangkan lokasi kampus UniMAP yang masih berkonsepkan kampus teragih, pasukan Pusat Pengurusan dan Pembangunan Digital telah mengorbankan cuti hujung minggu masing-masing untuk memasukkan koordinat GPS hampir keseluruhan lokasi bertugas di dalam sistem tersebut dan ia telah mula digunakan hari ini,” jelasnya lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button