
Ungu Kembali Gegar Malaysia Konsert Istimewa Yang Ke 29 Tahun
KUMPULAN rock popular Indonesia, Ungu, bakal menggegarkan pentas Plenary Hall, KLCC pada 12 Julai 2025 dalam sebuah konsert istimewa sempena sambutan ulang tahun ke-29 mereka yang diberi judul “29th Anniversary – Symphony of Ungu”.
Konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam ini bakal menyaksikan Ungu tampil berbeza daripada kebiasaan apabila mengetengahkan konsep orkestra, hasil gandingan istimewa dengan sentuhan muzik daripada J.P Denny. Ia bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya merupakan penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni Ungu sejak hampir tiga dekad lalu.
Antara lagu-lagu ikonik yang dijangka mengisi malam penuh emosi itu termasuklah Cinta Dalam Hati, Andai Ku Tahu, dan Percaya Padaku, yang pernah menjadi siulan ramai di seluruh Nusantara.
“Plenary Hall dipilih kerana lokasi ini bersifat eksklusif dan sesuai untuk membawa suasana megah serta intim kepada penonton,” kata wakil penganjur. Kapasiti maksimum dewan tersebut adalah sekitar 2,865 orang, dan penganjur menjangkakan tiket akan habis dijual dalam masa singkat.
Ungu, yang dikenali dengan gaya muzik penuh jiwa dan mesej mendalam, turut menyifatkan konsert ini sebagai lambang penghargaan buat peminat Malaysia yang banyak menyokong perjalanan seni mereka sejak awal kemunculan.
Tiket boleh dibeli secara rasmi melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my dan maklumat kelas serta harga akan diumumkan tidak lama lagi.