UMNO sengaja mengundang bala
Kadangkala bila aku belek kembali foto di FB, aku sendiri tidak ingat mengapa aku ada di dalam foto berkenaan.
Melihatkan tarikhnya adalah sehari selepas BN kalah pada pilihan raya lalu.
Sebenarnya bukan sehari selepas, tetapi telah melewati tengah malam, keputusan rasmi pilihan raya 2018 belum diperolehi.
Sedangkan sebelum itu para pemimpin UMNO begitu yakin menang dua pertiga.
Harapan palsu itu turut dipercayai oleh bos-bosku di Utusan.
Formula bangang apa yang mereka pakai aku tak tahu. Bolehlah tanya mereka sendiri. Bukan itu sahaja pukul 6 petang selepas pengundian ditutup ada yang telah potong kek meraikan kemenangan.
Sebelum itu ketika aku pulang dari lapangan, aku melahirkan kegusaran, namun bosku bilang jangan bimbang dua pertiga dalam tangan.
Terlebih dahulu ketika di lapangan aku ditempelak oleh pemimpin UMNO pada pukul 4 pagi apabila aku beritahu dia akan kekal sebagai ahli parlimen, tetapi semua kerusi dewan undangan negeri akan kalah.
“Borhan! Number you cannot play with me,” bentak beliau.
Aku hanya beritahu apa yang rakyat cakap, tetapi tidak ada siapa yang percaya.
Selepas kalah para pemimpin berkenaan menyalahkan janji Pakatan Harapan yang menjadi punca. Sebenarnya kekalahan bukan kerana janji palsu itu, tetapi kerana mereka semua sudah lupa daratan.
Bayangkan semua penyandang kerusi ditendang dan diganti dengan muka baharu yang tidak digemari oleh pengundi.
Ada muka baharu yang pernah menampar muka bapa sendiri di khalayak ramai dan bapanya berkempen di pentas lawan. Dan itupun diyakini bakal menang besar.
UMNO sebenarnya pada 2018 memang sengaja mengundang bala.
Sehingga hari ini UMNO terus hidup dalam penafian dengan menyalahkan kempen jahat pembangkang menyebabkan mereka kalah.
Persoalannya sejak bila sepanjang pemerintahan pilihan raya berjalan dengan adil?
Setidak-tidaknya sudah terang lagi nyata jentera kerajaan disalahguna untuk berkempen. Itu yang terang. Yang gelap jangan cerita. Pun begitu UMNO ditolak secara total oleh rakyat.
Kini riak lupa daratan itu kembali selepas memenangi dua pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.
Kisah anak ahli parlimen menyalahguna kuasa dan kedudukan bapanya memang menyakitkan hati rakyat.
Ditambah sikap angkuh para pemimpin yang semakin menyerlah meresahkan rakyat.
Rakyat memang sedar Pakatan Harapan gagal memerintah negara. Bagaimanapun rakyat lebih resah melihat sikap lupa daratan dalam kalangan pemimpin UMNO hingga meresap kepada ahli keluarga mereka.
Sikap ini ibarat sengaja menggali kubur sendiri dan mengundang bala. Nampaknya kalah sekali pada pilihan raya umum belum cukup menginsafkan. Lihat saja di Melaka sejak menang pilihan raya negeri tempoh hari kerusi ketua menteri terus panas. Jika pilihan raya diadakan sekitar tiga bulan dari sekarang dan sikap pemimpin UMNO kekal seperti dewasa ini, situasi akan kekal sukar.