UMNO Bahagian Alor Gajah cadang Sulaiman ganti Ab. Rauf
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 12 Mei – UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan agar Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali segera dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu
menggantikan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Pemangku Ketuanya, Datuk Rospandi Leman berkata, keputusan tersebut diputuskan sebulat suara dan mendapat
sokongan penuh pada mesyuarat UMNO bahagian itu malam tadi.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bertujuan mengukuhkan lagi kepimpinan UMNO dan BN di peringkat bahagian
serta negeri jika ketua menteri adalah individu yang sama memegang kedua-dua jawatan tersebut.
Beliau berkata ini juga akan memudahkan parti membuat persediaan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya
Umum ke-15 (PRU-15).
“Pendirian tegas UMNO Bahagian Alor Gajah adalah menyokong penuh Sulaiman terus mendapat mandat sebagai ketua menteri sehingga habis penggal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15,” ujarnya dalam satu kenyataan
hari ini.
Rospandi menegaskan pendirian UMNO bahagian adalah selaras dengan aku janji yang telah dibuat oleh pucuk
pimpinan UMNO dan BN bahawa Sulaiman akan terus kekal dilantik sebagai ketua menteri jika parti terus
diberikan mandat baharu.
Sehubungan itu tegasnya, sebarang cubaan untuk mengganggu-gugat kepimpinan Sulaiman dan memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai perbuatan mengkhianati mandat besar yang telah diberikan oleh pengundi dan
rakyat pada PRN Melaka, November lalu.
Jelasnya, seluruh jawatankuasa bahagian berpendirian fokus utama kepimpinan kerajaan negeri adalah untuk
memulihkan semula pembangunan ekonomi dan kehidupan rakyat negeri ini yang terjejas akibat wabak Covid-
19.
Baru-baru ini terdapat dakwaan yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman telah dipaksa
menandatangani surat perletakan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.