Ukraine sedia hadapi serangan Rusia
RUSIA dijangka akan memulakan serangan di kawasan timur Donbas selepas pasukan tentera Moscow dihalau dari Kyiv.
Difahamkan penyerangan itu adalah satu usahanya untuk menakluk wilayah itu dan sudah dijangkakan oleh Ukraine tentang perkara itu.
Ukraine memaklumkan bahawa sasaran utama Rusia di Donbas adalah pelabuhan Mariupol, di mana ribuan orang dipercayai terbunuh selepas dikepung selama hampir tujuh minggu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata Rusia sedang mengumpulkan ribuan tenteranya di kawasan itu bagi melakukan serangan baharu.
Sementara itu, pemimpin Kesatuan Eropah (EU) Canselor Austria, Karl Nehammer, yang bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, berkata ‘serangan berskala besar sedang dipersiapkan’.
Nehammer, satu-satunya pemimpin yang bertemu Putin secara bersemuka sejak perang tercetus pada 24 Februari lalu, berkata sekatan Barat terhadap Moscow dijangka diperhebatkan selagi pencerobohan diteruskan.
“Memberi tahu Putin sekali adalah tidak cukup, 10 kali tidak cukup. Ia perlu dilakukan 100 kali,” katanya.
Rusia yang sebelum ini mengundurkan pasukan tenteranya dari utara Ukraine, termasuk pinggir ibu kota Kyiv, kini, mengalihkan perhatiannya kepada Donbas.
Penawanan Mariupol, yang juga pelabuhan utama di timur, akan membolehkan Moscow menghubungkan tenteranya untuk mara ke timur bersama pasukan di wilayah Crimea di selatan.
Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan kepada Putin untuk mengundurkan pasukannya dengan mengharamkan dagangan minyak dan gas dari Rusia serta menggalakkan sekutunya untuk melakukan perkara sama.
Ia turut memberi amaran bahawa Moscow cuba untuk memberi bekalan dan menguatkan pasukannya di Donban.
Bagaimanapun, kuasa besar dunia termasuk China dan India enggan melakukan sekatan ke atas Rusia.
Didorong oleh diskaun minyak yang tinggi, India membeli lebih banyak minyak mentah berbanding tahun lalu dari Rusia sejak pencerobohan bermula.
Dalam panggilan video, Presiden AS, Joe Biden, memberitahu Perdana Menteri India,
Narendra Modi, bahawa adalah bercanggah dengan kepentingan India untuk terus membeli minyak daripada Russia.
Modi bagaimanapun, dalam perbincangan dengan Russia baru-baru ini, mencadangkan supaya Putin mengadakan perbincangan terus dengan Zelensky. – Berita Harian – SM