EkonomiNasional

Ubah, pinda akta, lindungi pengusaha pelancongan tempatan

KEMENTERIAN Pelancongan dan Kebudayaan, digesa menyemak semula Akta Industri Pelancongan 1992 sama ada melakukan pindaan atau menggubal akta baharu.

Penguatkuasaan akta tersebut dikatakan perlu relevan dengan keadaan semasa termasuk penyesuaian pelancongan digital.

Ini kerana, akta tersebut kini tidak dapat menjaga kepentingan pengusaha-pengusaha tempatan termasuk ejen-ejen berkaitan dan pemilik produk.

Ia susulan lambakan tawaran melalui platform daripada luar negara menyebabkan kelesuan dalam perniagaan melibatkan agensi pelancongan tempatan.

“Hal ini bukan perkara baharu, kerajaan perlu melihat impak kemasukan platform dari negara lain yang hampir memonopoli produk pelancongan tempatan.

BACA > Tesco, NESS, NEFIN capai persetujuan pemasangan solar — Suara Merdeka

“Ini termasuklah kemudahan tempahan hotel dan pengangkutan yang digunakan kebanyakan rakyat Malaysia sekarang.”

Kata Pengarah Urusan Kumpulan Pengurusan Sri Sutra Sdn. Bhd., Datuk Syed Mohd. Syed Razif ketika ditemui Suara Merdeka hari ini.

Menurut beliau, pemain industri tempatan berhadapan tekanan dari segi harga tawaran termasuk keutmaan dalam menjual produk.

Katanya, hal demikian menyebabkan pengusaha agensi pelancongan berhadapan kerugian akibat tidak dapat mendapatkan harga terbaik daripada pemilik produk.

“Hotel-hotel dipercayai perlu membayar komisyen antara 17 hingga 27 peratus kepada platform luar dalam memastikan bilik-bilik mereka terjual.

“Memanglah itu sebagai komitmen untuk memasarkan produk mereka dalam platform tersebut, namun itu tidak memberi kelebihan kepada agensi pelancongan tempatan.

“Kita terpaksa akur dengan harga yang diberi oleh pihak hotel untuk dijual kepada pelanggan dan ia adalah lebih mahal berbanding tawaran dibuat dalam platform asing,” jelasnya.

BACA > Pencemar mural Agong dilakukan dua wanita? — Suara Merdeka

Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (Bumitra) menjelaskan hal tersebut juga menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Ini kerana, penggunaan platform luar menyebabkan aliran tunai keluar dan masuk semula walaupun setakat melibatkan pembelian bilik hotel dalam negara.

“Kerajaan mungkin alami kerugian dari segi aliran wang tunai kerana hotel dalam negara yang dijual dalam platform luar melibatkan pertukaran wang asing.

“Maknanya duit yang dibayar untuk membeli hotel akan ke luar negara melalui tukaran wang asing menggunakan payment gateway mereka.

“Selain itu, industri pelancongan tempatan terutama kementerian rugi dari segi mendapatkan data pelanggan kerana setiap transaksi direkodkan oleh platform itu sendiri,” katanya.

Justeru, katanya lagi, operasi perniagaan antara agensi pelancongan tempatan dan platform luar harus dilayan secara adil tanpa meminggirkan sesiapa terutama peniaga tempatan.

BACA > Teroka pendigitalan sektor pelancongan — Suara Merdeka

Tambah Syed Mohd. Razif, pengusaha tempatan mesti dibantu terutama ketika pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button