Hiburan

TV AlHijrah lancar kempen Ramadan 1444H, Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan2023

TV ALHIJRAH meneruskan iltizam pada tahun ini untuk menjadi stesen televisyen utama yang menyatupadukan ummah dengan ilmu. Usaha ini selari dengan Pelan Transformasi Al-Falah yang diperkenalkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam usaha menjayakan inisiatif kerajaan Malaysia bagi mewujudkan masyarakat Malaysia MADANI.

TV AlHijrah mahu membawa penonton untuk menghayati Ramadan tahun ini dengan mengangkat tema Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan sebagai aspirasi penyiaran sepanjang tempoh dua bulan mendatang. Dengan tema yang cukup jelas, kami menyajikan program-program istimewa di siaran televisyen dan juga program turun padang bagi memenuhi ruang rohani penonton.

Kesemua program ini juga disusun indah, rapi dan teliti agar objektif kami untuk mendidik jiwa, menghiburkan dan memperbaiki kondisi dan nilai ketakwaan kepada Allah S.W.T. dapat sama-sama dicapai.

 

Kempen Ramadan TV AlHijrah didokong 2 inisiatif utama

Inisiatif pertama adalah penerbitan dan penyiaran 17 rancangan baru dan istimewa genre dokumentari, bual bicara, masakan, kerohanian, drama, telefilem, hiburan Islamik dan filem. Keseluruhan 29 jam penerbitan telah diperuntukkan untuk sajian rancangan Ramadan ini.

Di antara rancangan-rancangan tersebut adalah Peristiwa Ramadan, Rehlah Roh Haramain, Khatam al-Quran Perdana, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan, Cinta Ilmu Qiam, Kerusi Lipat, Ihya Ramadan, Camca Ramadan, Camca Viral, Assalamualaikum Sahur, Kapsul Taranum Challnge, Sembang Moreh, Dokumentari Legasi Mushaf dan Matahati Madani. Istimewa buat peminat drama, kami hidangkan drama Kesempatan Kedua dan Telefilem Sis Fika.

TV AlHijrah turut memperkenalkan inisiatif kedua, iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Jika pada tahun-tahun sebelum ini, hanya 1 program CSR diperkenalkan. Disebabkan impak yang besar, diatas permintaan umum serta keperluan membantu masyarakat MADANI, pada tahun ini TV AlHijrah akan melancarkan 2 program CSR.

Sekadar perkongsian, 2 program CSR ini menzahirkan komitmen kami sebagai organisasi penyiaran yang sama-sama membantu pihak kerajaan menyantuni golongan yang memerlukan, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, mendepani ketidaktentuan ekonomi

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Encik Namanzee Harris

Inisiatif CSR pertama adalah agihan bubur lambuk oleh Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah. Memasuki tahun ke-7 acara ini dijalankan, saya yakin agihan bubur lambuk TV AlHijrah sudah dikenali dan dinanti-nanti oleh masyarakat setempat.

Tahun ini, Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah akan turun menggunakan khidmat 15 orang rider motosikal yang akan membuat edaran sebanyak 1 ribu bungkusan bubur lambuk di 5 lokasi tumpuan ramai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Antara lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti adalah seperti di Hospital Besar Kuala Lumpur, stesen LRT, UiTM Shah Alam, Stesen Perhentian Bas Kajang dan Masjid Usman Bin Zaid.

Ezzaty Abdullah antara yang hadir memeriahkan majlis pelancaran Program Ramadan TV AlHijrah

Program CSR kedua dinamakan sebagai AlHijrah On The Bus. Ini adalah gerak kerja yang akan membawa masyarakat Malaysia kurang berkemampuan pulang ke kampung untuk berhari raya. AlHijrah On The Bus yang baru sahaja diperkenalkan tahun ini bertujuan menerapkan semangat kebersamaan di bulan suci Ramadan dan kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Dengan kerjasama Mara Liner Sdn. Bhd, empat buah bas dengan kapasiti 180 penumpang akan melalui rangkaian jalan raya di utara, selatan dan timur membawa mereka yang terpilih untuk pulang beraya secara percuma. Perjalanan pertama AlHijrah On The Bus ini akan berlepas pada Jumaat, 14 April 2023 bersamaan 22 Ramadan 1444H ke negeri Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu. Bas yang disediakan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dari segi kewangan Insya-Allah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris(enam kiri)serta artis jemputan bergambar bersama dihadapan bas Alhijrah On The Bus pada majlis pelancaran program Ramadan TV AlHijrah diZebra Square, Kuala Lumpur

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Encik Namanzee Harris, juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemegang taruh, rakan sinergi, warga kerja serta seluruh warga penonton yang senantiasa memberikan sokongan jitu serta kerjasama erat kepada usaha TV AlHijrah menyebarkan didikan dakwah kepada masyarakat Malaysia MADANI.

“Ayuh sama-sama jadikan stesen ini sebagai stesen pilihan yang membantu kita mengendali nurani, membersihkan jiwa dan ladang ilmu yang mampu menjadi bekalan kita di akhirat kelak.” Tambah beliau lagi.

Pada sesiapa yang mahu menyertai program ini bolehlah melayari laman sesawang TV AlHijrah bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Taranum Challenge oleh Fakhrul UNIC bersama para peserta Akademi Qurra TV AlHijrah pada majlis pelancaran program Ramadan TV AlHijrah di Zebra Square, Kuala Lumpur baru-baru ini

 

PROGRAM-PROGRAM RAMADAN 1444H

 

  1. PERISTIWA RAMADAN

Adalah sebuah program teater muzikal kendalian Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Dato’ Haji Badli Shah yang membawa penonton menelusuri peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sewaktu bulan Ramadan, ketika zaman Nabi Muhammad S.A.W.

 

Antaranya adalah peristiwa kewafatan Saidatina Fatimah az-Zahrah, kewafatan Saidatina Khadijah, Perang Tabuk, Nuzul al-Quran dan banyak lagi. Penonton pastinya dapat menghayati perjuangan Rasulullah dan para sahabat dalam menyebarkan risalah Islam.

 

Bermula 23 Mac 2023 | Setiap Isnin – Jumaat | 10 Malam

 

  1. DRAMA KESEMPATAN KEDUA

Membawakan kisah hidup Haris, seorang lelaki budiman yang berjaya di dalam kehidupan kerjayanya. Namun begitu, Haris seakan-akan tidak mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat. Walau seringkali dinasihat Raihan, rakan karibnya, Haris tidak pernah ambil endah sehinggalah berlakunya satu peristiwa yang membuatkan Haris berubah lantas menjadikan solat, puasa dan sedekah sebagai amalan dalam menangani serangan keresahan dalam kerjayanya.

 

PELAKON: Syazuwan Hassan, Ezzaty Abdullah, Doria Rachel Jolly

 

Bermula 23 Mac 2023 | Isnin-Jumaat | 6:30 Petang

 

 

  1. KAPSUL TARANUM CHALLENGE 

Mengajak penonton untuk sama-sama memperbaiki bacaan al-Quran dengan tajwid yang betul, makhraj yang tepat serta taranum yang jelas. Menariknya, hos rancangan iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abd Rahman, Abdul Qawiy dan Fakhrul UNIC akan bersama-sama khalayak awam yang terdiri daripada pelajar universiti, pelajar tahfiz dan ramai lagi untuk memperdengarkan battle alunan bacaan al-Quran dengan taranum.

 

Bermula 23 Mac 2023 | Isnin – Jumaat | 7:25 malam

 

  1. DOKUMENTARI LEGASI MUSHAF

Pernahkan anda terfikir bagaimanakah proses al-Quran dilupus? Pada Ramadan kali ini, TV AlHijrah membawakan DOKUMENTARI LEGASI MUSHAF memaparkan bagaimana proses pelupusan mushaf al-Quran dilakukan dengan penuh tertib bagi menjaga kehormatan al-Quran. Rancangan ini turut berkongsi cara dan tatacara pemurnian Al-Quran di lautan dalam usaha mendidik masyarakat bahawa al-Quran adalah kitab suci yang perlu dipelihara kehormatannya.

 

Bermula 25 Mac 2023 | Setiap Sabtu | 10 Malam

 

 

  1. MATAHATI MADANI

Akan membawakan Datuk Prof. Dr. Muhaya untuk membincangkan tips terbaik untuk mengaplikasikan formula rahsia kehidupan dan elemen Madani demi memiliki perjalanan hidup yang lebih lancar dan tenang.

 

Bermula 26 Mac 2023 | Setiap Ahad | 6:30 Petang

 

 

  1. TELEMOVIE SIS FIKA

Pikah adalah gadis desa dari latar belakang keluarga sederhana. Namun begitu, neneknya merupakan bidan istana dan ibunya pula adalah mak andam yang dikenali ramai. Ilmu dan petua yang diwarisi daripada nenek dan ibunya akhirnya membuatkan Pikah terkenal sebagai usahawan produk makanan kesihatan yang berjaya.

 

Namun, langit tidak selalunya cerah. Dunia glamer dan kekayaan membuatkah Pikah hilang pertimbangan dan lupa daratan. Ujian demi ujian menimpa dirinya hingga membuatkan dia tekad untuk berubah dan menebus kesilapan lalu.

 

PELAKON: Aprena Manrose, Ady Adnan, Anis Al-Idrus dan Ahmadi Syafi

 

26 Mac 2023 | | Ahad | 9:05 Malam

 

 

  1. IHYA’ RAMADAN

Adalah program tausiyah yang akan memberikan kupasan terperinci kepada para penonton tentang fadilat bulan Ramadan dengan lebih jelas. Program ini akan memberi tumpuan kepada topik -topik Fiqh Puasa dan Akhlak di bulan Ramadan. Ihya’ Ramadan akan diterajui oleh hos rancangan berwibawa iaitu Ustaz Wadi Annuar, Habib Ali Zaenal Abidin dan Ustaz Don Daniyal.

 

Bermula 23 Mac 2023 | Setiap Hari | 6 Petang

 

  1. REHLAH ROH HARAMAIN

Adalah program travelog bumi haramain yang memaparkan cara hidup muslim, lokasi sirah yang jarang diketahui & tauladan para sahabat dengan presentasi yang segar & muda. Program kendalian Ustaz Ashraf Suarin ini bermatlamat mengisi perjalanan rohani penonton dengan ibrah sirah Nabi Muhammad S.A.W sekaligus berkongsi lokasi-lokasi sejarah yang dicatatkan oleh para ulama di dalam bumi Mekah dan Madinah yang kurang diterokai oleh masyarakat Islam zaman kini.

Bermula 26 Mac 2023 | Setiap Ahad | 11 Malam

 

 

  1. KHATAM AL-QURAN PERDANA

TV AlHijrah mengimarahkan sepuluh hari terakhir Ramadan 1444H dengan menyiarkan Program KHATAM AL-QURAN PERDANA pada 18 April 2023, bersamaan 27 Ramadan 1444H. Khatam al-Quran Perdana akan disiarkan secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah secara terus menerus selama 14 jam sebagai usaha membantu penonton untuk sama-sama melakukan pecutan terakhir menambah amal kebaikan di fasa akhir Ramadan.

 

Program Khatam al-Quran Perdana ini menggabungkan barisan asatizah dan selebriti tanah air yang akan sama-sama akan berganding bahu di bawah satu payung mukjizat agung iaitu al-Quran.

 

18 April 2023 | 5 Pagi – 7 Malam

 

 

  1. CAMCA VIRAL

Memaparkan kelainan apabila rancangan ini mengetengahkan konsep terjah restoran serta gerai-gerai makanan yang viral serta menjadi sebutan netizen. Objektifnya tidak lain tidak bukan adalah untuk mempromosikan gerai-gerai dan restoran setempat sekaligus memberi idea kepada para penonton lokasi berbuka puasa menarik serta lokasi membeli juadah berbuka puasa istimewa.

 

Antara restoran-restoran yang akan diterjah adalah seperti Restoran Halal Duck Co, Cyberjaya, EPL Café, Setiawangsa, Pancake Bergegau, Bangi dan banyak lokasi lain.

 

Bermula 23 Mac 2023 | Setiap Hari | 4.30 Petang

 

 

  1. CAMCA RAMADAN

Adalah sebuah program masakan yang bermatlamat membantu para ibu samada yang bekerja mahupun suri rumahtangga menyediakan juadah bersahur dan berbuka yang praktikal, mudah disediakan, sedap dan berkhasiat. Menariknya, juadah yang disediakan oleh Chef Nabil Salleh tidak hanya tertumpu kepada lauk pauk sahaja, tetapi Chef Nabil Salleh akan mengetengahkan konsep juadah tradisi melayu termasuklah pelbagai kuih muih tradisi yang disediakan dalam suasana kemelayuan seperti penggunaan dapur kayu, giling batu dan lain-lain.

 

Bermula 26 Mac 2023 | Setiap Ahad |5.30 Petang

 

 

  1. CINTA ILMU ISTIMEWA RAMADAN

Adalah sebuah program kerohanian yang membincangkan persoalan serta kemusykilan agama seumpama bicara hukum dan fatwa. Istimewa Ramadan kali ini, Iman dan Ihsan yang menjadi teras setiap mukmin akan menjadi topik perbincangan utama agar dapat melahirkan masyarakat penonton yang berjiwa besar dengan suntikan iman.

 

Bermula 23 Mac 2023 | Isnin – Rabu | 7:30 Malam

 

  1. CINTA ILMU QIAM

Bersempena Ramadan 1444H, CINTA ILMU QIAM akan bersiaran setiap pagi untuk menghidupkan sepertiga malam Ramadan penonton dengan pengisian rohani demi Ilahi. Cinta Ilmu Qiam akan siarkan satu jam. Antara segmen-segmen yang akan dipertontonkan adalah seperti segmen Ibadah, Munajat, Mengaji dan Tazkirah.

 

Bermula 23 Mac 2023 | Setiap Hari | 4 Pagi

 

 

  1. SEMBANG MOREH

Adalah program sembang santai usai solat tarawih. Bersama pengacara rancangan Hanan Abdul Rahman membincangkan tentang topik-topik lazim yang sering menjadi persoalan pada bulan Ramadan.

 

Bermula 27 Mac 2023 | Isnin – Rabu | 11:30 Malam

 

 

  1. ASSALAMUALAIKUM SAHUR

Adalah program bual bicara pagi berkonsepkan qiamullail dengan pengisian zikir munajat, bacaan ayat al-Quran di sepertiga malam sehingga ke subuh. Objektif utama penyiaran rancangan ini adalah sebagai galakan dan pendorong buat masyarakat untuk bersama-sama menghidupkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadah.

 

Antara barisan panel yang akan bersama penonton setiap hari adalah seperti Ustaz Zarifi Mohamad Daud, Ustaz Shamsul Hakim, Dr. Nur Muhammad Hadi, Ustaz Mohd Azki Abdullah, Ustaz Mohd Nasir Zakaria dan Ustazah Muzayyanah.

 

Bermula 23 Mac 2023 | Setiap Hari | 5 Pagi

 

 

  1. HIJRAH BERSELAWAT RAMADAN

Adalah antara program hiburan yang tercalon dalam Anugerah Seri Angkasa 2022 bagi kategori Program Hiburan Terbaik. Ramadan tahun ini, Hijrah Berselawat akan bersama anda mengimarahkan bulan keberkatan ini dengan alunan selawat dan qasidah yang mendamaikan.

 

25 Mac 2023 | Sabtu | 10:30 Malam

 

 

  1. KERUSI LIPAT

Menyedari akan keunikan bazar Ramadan, TV AlHijrah memilih untuk menerbit dan menyiarkan sebuah program baru iaitu KERUSI LIPAT. Kerusi Lipat adalah sebuah program travelog santai yang membawa penonton menjelajah ke bazar-bazar Ramadan terkenal di Malaysia untuk mencari juadah istimewa dan menarik untuk berbuka puasa.

 

Di hoskan oleh Bell Ngasri dan Wasiril Aswad, Program ini turut bertujuan mendidik penonton dengan menyelitkan nilai murni seperti berkongsi rezeki dan sifat bersederhana ketika menjalani ibadah berpuasa.

 

Bermula 25 Mac 2023 | Setiap Sabtu | 5.30 Petang

 

Artikel berkaitan > Tilmiz Saifullah, Tilmizah Nazirah gagal ke peringkat akhir Akademi Qurra’

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button