Nasional

Tun Mohd. Ali ziarah mangsa ribut di Tanjong Bidara

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkenan menziarahi mangsa angin ribut yang melanda empat buah kampung di Tanjong Bidara, Masjid Tanah di sini hari ini.

Sejurus menunaikan solat Jumaat di Masjid Tanjong Bidara, Mohd. Ali menaiki kenderaan pacuan empat roda dipandu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dibawa melawat rumah mangsa yang terjejas teruk khususnya di Kampung Pasir Gembur.

Beliau turut menyampaikan bantuan berjumlah RM3,000 kepada pemilik tiga daripada lima buah rumah yang paling teruk mengalami kerosakan hingga rumah mereka tidak boleh didiami akibat kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin.

Di samping itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka turut meluangkan masa meninjau asrama Sekolah Menengah Arab (JAIM) Al-Ehya El-Karim yang terjejas akibat kejadian tersebut.

Sejurus selepas lawatan itu, Mohd. Ali juga turut menyampaikan bantuan wang tunai RM500 daripada Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Tanjung Bidara.


Mohd. Ali Mohd. Rustam diiringi Ab. Rauf Yusoh menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada mangsa ribut di Tanjong Bidara, Masjid Tanah, Melaka.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pasir Gembur, Mohamad Azmi Sabtu berkata, semua kos membaiki bumbung yang rosak atau diterbangkan angin kencang akan dibiayai sepenuhnya oleh ADUN Tanjong Bidara.

“Kerja-kerja memasang semula bumbung 70 buah rumah yang terbabit dalam kejadian Rabu lalu telah bermula semalam dan berterusan dalam tempoh seminggu ini.

“Sejak semalam, kontraktor telah menghantar kepingan zink dan asbestos sehingga hari ini kerana masih ada rumah belum menerima kepingan atap berumah kerana bekalan tidak mencukupi dan terpaksa ditempah dari luar daerah ini.

“Barangan makanan dan keperluan lain turut diberikan kepada semua mangsa yang terlibat dan memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan,” ujarnya ketika ditemui selepas itu.

Dalam kejadian pagi kelmarin, empat kawasan perkampungan terjejas teruk selepas dilanda ribut yang berlaku dalam tempoh lima minit.

Kawasan yang terlibat adalah Kampung Pasir Gembur, Kampung Air Hitam Pantai, Kampung Air Hitam Darat, Kampung Balik Batu dan sebuah masjid iaitu Masjid Air Hitam Darat.

Mengulas lanjut Mohamad Azmi berkata, kebajikan 46 pelajar sekolah menengah agama JAIM yang turut dilanda angin pusaran itu turut dibantu.

Katanya, ADUN Tanjong Bidara juga akan menghulurkan bantuan bagi kerja-kerja baik pulih asrama sekolah berkenaan yang akan dilaksanakan oleh Pejabat Pendidikan Negeri (JPN) dan JAIM. – SM

(Visited 41 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button