Politik

Dia yang pinda akta beri rumah, tanah kepada bekas PM – Najib

AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meminda akta untuk membolehkan tanah dan rumah dihadiahkan kepada bekas perdana menteri.

Menurut Najib, pindaan itu dibuat ketika Dr. Mahathir menjadi perdana menteri ke-4.

Katanya, akta itu melayakkan bekas perdana menteri untuk menerima hadiah berbentuk tanah dan rumah.

“Dia sendiri yang pinda Akta semasa dia PM4. Office saya cuma mohon diberi kediaman selepas PRU14 seperti dalam akta dipinda dia.

“Kerajaan beri 3 bidang tanah untuk pilih maka saya pilih satu. Tanah kerajaan dekat Dewan Bahasa dan Pustaka sebab keluarga saya rasa lokasi itu paling sesuai bagi mereka. Bukan sudah diluluskan kerajaan hari ini pun.

“Bukan saya minta hadiah RM100 juta dari kerajaan tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas-bekas perdana menteri,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Najib turut berkongsi salinan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237) yang telah dipinda pada 9 April 2003.

Akta tersebut menyebut, “Ditawarkan secara percuma sebuah Rumah Kerajaan yang sesuai dengan status bekas Perdana Menteri Malaysia. Sekiranya kemudahan ini diterima, bekas Perdana Menteri tidak layak mendapat kemudahan di perenggan 3(i)(a) atau 3(i)(b)”.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap isu berkenaan yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir di Dewan Rakyat.

Najib berkata, berbanding Dr. Mahathir yang mempunyai kompleks besar seperti Perdana Leadership Foundation Mahathir sebagai pejabat, dia hanya mempunyai sebuah pejabat bekas perdana menteri berupa sebuah banglo yang disewa di Bukit Pantai.

Tambah Najib, sekiranya dia bersikap tamak, dia sudah mengambil RM100 juta daripada RM645 juta yang disumbangkan oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi.

“Malah mahkamah juga telah mengesahkan bahawa dana sebanyak RM642 juta yang saya terima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi pun saya semuanya beri untuk kegunaan kebajikan dan program CSR bagi Rakyat. Bukan digunakan untuk peribadi saya pun.

“Jika saya tamak, saya dah ambil RM100 juta dari RM642 juta itu untuk beli rumah besar-besar seperti rumah kamu di Country Heights. Masih lagi baki RM542 juta untuk beri pada Rakyat. Tapi saya tak buat begitu pun.

“Sebab itu Mahathir masih penuh dengki dengan saya. Sebab saya langsung tak ada sebarang jasa atau pencapaian. Nak pertikaikan apa yang saya tulis di atas ini, dipersilakan Mahathir,” kata Najib.-SM

(Visited 753 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button