Tun M akan kembali ke UMNO?
Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Tokyo, bukanlah satu kebetulan.
Ia pasti telah diatur, walaupun kebetulan kedua-dua pemimpin itu menghadiri persidangan di ibu negara Jepun itu.
Jika diteliti gambar tersebut terselit Datuk Seri Shahidan Kassim yang merupakan Menteri Wilayah.
Walaupun kehadiran Shahidan dikatakan bagi mempelajari kaedah Jepun mengatasi masalah banjir, tetapi ia tetatp menimbulkan pelbagai spekulasi.
Apatah lagi politik negara kini semakin panas dengan ura-ura pilihan raya yang semakin hampir.
Para pemimpin politik kini sedang gigih mengatur strategi dan mencari rakan sekutu kerana pilihan raya kali ini pastinya sangat sengit.
Tidak akan ada parti mampu mendapat sokongan majoriti dan memerintah kecuali dengan gandingan sekutu yang betul.
Ada juga yang berangan lebih jauh iaitu mungkin Dr. Mahathir akan menyertai kembali UMNO setelah para kleptokrat dibersihkan dari parti itu dan juga membubarkan parti Pejuang yang semakin lemah perjuangannya.
Segalanya boleh berlaku lihat sahaja bagaimana Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan hanya selepas 22 bulan memerintah.
Begitu juga gerakan menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional ketika berdepan ancaman penarikan sokongan para ahli parlimen.
Kini terdapat dua golongan iaitu majoriti pemimpin utama UMNO mahukan pilihan raya segera kerana merasakan parti itu telah kembali mendapat sokongan rakyat berdasarkan kemenangan besar pilihan raya negeri Melaka dan Johor.
Pada masa yang sama pembangkang dikatakan berpecah belah dan berada dalam keadaan yang sangat lemah.
Satu kelompok lagi mahukan pilihan raya diadakan tahun hadapan iaitu tempoh tamat mandat kerana mahu melihat negara pulih dahulu selepas melepasi fasa pandemik Covid-19.
Apa pun rakyat sudah jelak dan letih dengan politik mereka kini sedang berjuang membina kembali kehidupan yang terjejas teruk akibat kesuraman ekonomi sepanjang fasa pandemik.
Terlalu banyak berpolitik hanya menghancurkan negara.