Nasional

Tular pelajar duduk dalam bonet kereta demi talian internet

AGAK tidak munasabah namun seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berdepan kesukaran untuk mengikuti Pembelajaran Jarak Jauh (ODL) selepas menara telekomunikasi di daerah Telupid, Sabah rosak kerana terbakar.

Kalau ikutkan kata Menteri Telekomunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa, rangkaian 5G akan memudahkan pengguna internet termasuk di kawasan pendalaman atau luar bandar.

Mungkin berbeza capaian pencawang 5G untuk sampai ke negeri bawah bayu. Namun apapun, pihak Menteri dan kementerian berkenaan serta agensi mungkin melakukan sesuatu untuk sejumlah 30,000 penduduk di sebuah daerah di Sabah.

Terpaksa rakam dan tularkan masalah yang dihadapi oleh pelajar, Anis Arina Aqilah Roslee, 23, yang kini berada di semester enam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial.

Beliau berkata, sejak kejadian kebakaran itu berlaku, beliau terpaksa memandu keluar dari kampungnya bagi mencari dan mendapatkan talian telekomunikasi dan internet.

Malah katanya, beliau pernah memandu sejauh 130 kilometer (km) bagi mendapatkan rangkaian internet kerana perlu mengikuti kelas dalam talian.

“Kami perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain, dari satu kampung ke kampung yang lain untuk cari ‘line’ internet.

“Saya pernah memandu sejauh 130 km ke pekan Sandakan untuk mencari talian atau ‘line’ kerana kebetulan keluarga saya ada temu janji di hospital dan saya pula perlu siapkan semua kerja di tempat yang ada talian.

“Jadi, sekarang setiap hari saya memandu 10 hingga 15 km dari Jalan Tawai hingga Entilibon untuk mencari talian internet,” katanya.

Semalam, video dimuat naik Anis tular di media sosial selepas berkongsi caranya mengikuti kuliah secara ODL. Anak sulung daripada tiga beradik itu dilihat duduk dalam bonet kereta bagi mendapatkan rangkaian terbaik.

Menerusi perkongsian Anis itu, turut dilihat pensyarahnya bertanyakan khabar dan menasihatinya supaya tidak patah semangat walaupun berdepan dengan halangan dalam menuntut ilmu.

Mengulas perkara itu, Anis berkata, beliau terharu kerana pensyarahya amat memahami situasi yang dihadapi serta memintanya mengutamakan keselamatan diri.

“Pensyarah cakap kalau tak dapat masuk kelas jangan paksa, utamakan nyawa dulu dan mereka bantu dari segi nota sebab mereka tahu saya tidak boleh akses laman web,” katanya.

Menurut Anis lagi, penduduk kampung telah membuat aduan kepada pihak berwajib. Bagaimanapun mereka difahamkan bahan mentah untuk menara pencawang itu perlu dibawa dari Semenanjung.

“Tetapi pihak SKMM dan telco yang lain ada ambil inisiatif menghantar van sejak semalam di mana van itu memancarkan satelit untuk membuat rangkaian talian di Pekan Telupid namun belum dapat dipastikan telco yang mana kerana belum ada talian,” katanya.

Anis turut berharap akan ada penambahbaikan dari segi jaringan telekomunikasi di kawasan tersebut selepas ini.

“Saya harap video yang saya kongsikan itu memberi manfaat kepada daerah saya. Mana tahu ada penambahbaikan dari segi internet yang akan memanfaatkan lebih kurang 30,000 penduduk di sini,” katanya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button