Nasional

Tubuh konsortium Rahmah untuk bantu rakyat

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menimbang untuk menubuhkan Konsortium Rahmah bagi memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk membantu rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia akan dianggotai oleh semua pemain industri dan tidak terhad kepada sektor makanan sahaja.

“Dengan penyertaan nama besar seperti KFC dan Pizza Hut (ke dalam Menu Rahmah), saya telah mula memikirkan untuk menubuhkan sebuah konsortium Rahmah untuk kita memikirkan apa lagi inisiatif yang lebih Rahmah, apa lagi sumbangan yang boleh kita adakan.

“Dengan konsortium ini yang dianggotai oleh semua pemain industri, beri masa kepada kami tiga bulan untuk kita dapat melakukan satu hala tuju yang akan lebih memberi manfaat kepada rakyat.

“Jadi, syarikat-syarikat sebagai contoh pasar raya juga akan kita jemput untuk menganggotai konsortium ini supaya satu pelan komprehensif akan dapat kita laksanakan dan akhirnya rakyat yang mendapat manfaat daripada program Rahmah yang sedang kita laksanakan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Menu Rahmah oleh KFC dan Pizza Hut di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, penyertaan KFC dan Pizza Hut itu telah memadamkan segala keraguan yang timbul di hari pertama KPDN melancarkan Menu Rahmah.

“Terdapat 3,000 premis yang mendaftar secara rasmi dan ini disempurnakan oleh KFC dan Pizza Hut membuktikan bahawa inisiatif ini sebenarnya telah dapat menakluk atau bertakhta di hati pemain industri yang merelakan sebahagian keuntungan mereka untuk dipulangkan kembali kepada rakyat.

“Malah, telah ada syarikat yang mengeluarkan kenyataan rasmi yang menu ini telah membantu meningkatkan jualan mereka sehingga 30 peratus,” katanya.

Sementara itu, mengenai masalah bekalan gula Salahuddin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada rakyat mengenai kekurangan bekalan di pasaran setakat ini.

“Setelah empat hari kita mengumumkan bahawa dua syarikat pengeluar gula tempatan boleh mengeluarkan gula putih bertapis jernih (pada harga tidak dikawal), tiada sebarang aduan diterima mengenai kekurangan bekalan gula.

“Kebenaran pengeluaran ini diberikan dengan syarat gula bertapis kasar dan halus ada di pasaran, paling minimum 42,000 tan sebulan.

“Namun begitu, saya telah arahkan penguatkuasa untuk melanjutkan Op Manis yang bertujuan menangani masalah kekurangan gula, selama sebulan lagi,” katanya. – SM

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button