Transformasi perpustakaan Masjid langkah baharu Ke arah pembudayaan ilmu
PERPUSTAKAAN Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi tanggungjawab melaksanakan transformasi ruangan dan pembangunan koleksi Perpustakaan Masjid Jamek Tanjong Malim menggunakan peruntukan khas daripada pihak masjid.
Masjid Jamek Tanjong Malim yang sebelum ini mempunyai ruang perpustakaan, menghadapi kesukaran untuk beroperasi secara aktif dan profesional. Namun, melalui usaha ini, perpustakaan masjid kini diberi wajah baharu dengan dekorasi menarik serta koleksi buku terkini.
Ketua Pustakawan PTB, Cik Noriha Muhammad, menyatakan harapannya agar transformasi tersebut mampu melengkapkan fungsi masjid sebagai pusat penyebaran ilmu. “Dengan wajah baharu ini, kami berharap perpustakaan dapat memainkan peranan penting dalam mendukung fungsi masjid sebagai pusat ilmu selain tempat beribadah,” katanya.
Sebagai simbolik transformasi, pihak UPSI turut menyumbangkan 50 naskhah buku bernilai RM1,000 kepada perpustakaan berkenaan.
Masjid Sebagai Pusat Pembudayaan Ilmu
Cik Noriha menambah bahawa transformasi ini bertujuan memperkukuh peranan masjid sebagai pusat perpaduan dan pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat. Masjid Jamek Tanjong Malim, yang dibina pada tahun 1926 dan dirasmikan pada 15 Jun 1932 oleh DYMM Paduka Sultan Iskandar Shah, kini lebih bersedia untuk memenuhi keperluan komuniti setempat.
Projek transformasi ini melibatkan 18 staf PTB dengan kerjasama 20 pelajar Kelab Al-Mursyiddin Pusat Islam UPSI (AMC) dan Kelab Sahabat Perpustakaan Tuanku Bainun (KSPTB).
Pengerusi Masjid Jamek Tanjong Malim, Mohd Subakir Ali, menyambut baik usaha ini dengan menyatakan bahawa transformasi perpustakaan masjid mengembalikan fungsi masjid sebagai pusat pembelajaran ilmu selain tempat ibadah.
Perasmian Perpustakaan Tuan Haji Zainuddin
Dalam majlis perasmian pada 30 Disember lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin, menyatakan rasa kagum terhadap inisiatif UPSI dan pihak masjid.
“Saya menggalakkan ahli jawatankuasa masjid untuk terus menganjurkan aktiviti pembudayaan ilmu agar masjid ini menjadi lebih makmur dan menarik kehadiran generasi muda,” katanya.
Pada majlis yang sama, perpustakaan masjid ini secara rasmi dinamakan sebagai Perpustakaan Tuan Haji Zainuddin, sebagai penghormatan kepada tokoh ulama tempatan yang banyak berjasa dalam pengurusan masjid.
Majlis turut dihadiri Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Hj. Ahmad, dan Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman.