Auto Travel

Tourism Malaysia bantu promosi Tahun Melawat Perlis

Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis memohon bantuan pihak Tourism Malaysia (TM) untuk memperkenalkan negeri Perlis terutama sekali kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang rancak berlangsung sebagai destinasi baru pelancongan dalam misi-misi promosi mereka baik di dalam mahupun luar negara.

Perlis berhasrat untuk tidak ketinggalan menjadi tuan rumah bagi sebarang program berskala lebih besar daripada yang pernah dilaksanakan sebelum ini khususnya dalam subjek keilmuan, alam sekitar, warisan dan gastronomi serta pada masa yang sama mempromosikan Perlis Geopark secara berterusan. Hebahan mengenai tempat-tempat menarik dan tarikan utama pelancongan melalui pelbagai medium khususnya media sosial secara konsisten oleh pihak TM juga amat dialu-alukan.

Demikian dikongsikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Rusdi Yahya sempena Majlis Sembah Mengadap oleh Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin ke atas Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

Hadir sama adalah Tengku Syarif Laksamana Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis, Nazzatul Shima Ahmad Sabri.

Majlis mengadap tersebut adalah bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman tentang usaha dan juga inisiatif bagi merancakkan lagi sektor pelancongan yang boleh menyejahterakan lagi rakyat negeri Perlis.

Datuk Yeoh juga berkongsi beberapa cadangan perancangan bagi jangka masa pendek, pertengahan dan juga panjang menarik yang boleh dipertimbangkan untuk menambah baik lagi sektor ini terutamanya dari segi promosi, dana, menaik taraf lokasi pelancongan dan juga kerjasama dengan pemain-pemain industri dari luar Perlis.

Perlis juga memohon kerjasama daripada pihak TM yang mempunyai jaringan yang luas termasuk antarabangsa untuk menjemput para pelabur serta pemain industri pelancongan terutama dalam bidang perhotelan untuk menilai sendiri segala peluang menarik yang boleh diterokai di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra pula menyeru agar semua pihak khususnya pemain industri pelancongan di Perlis akan terus bekerja keras bagi menambah baik lagi servis kepada pelanggan dan inisiatif pemasaran masing-masing dalam usaha menarik lebih ramai lagi pengunjung baik yang baharu ataupun yang berulang dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

(Visited 43 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button