Pendidikan

MAIPs perkenal bantuan pra universiti kepada pelajar Perlis

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu berupa ‘Sumbangan Bantuan Pra Universiti MAIPs yang mana setiap pelajar Perlis akan diberikan RM1,200 sejurus mereka memasuki semester kedua.

Sesi pelancaran disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Sanglang.

Hadir sama mengiringi Baginda ialah Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Fadhlina menyambut baik inisiatif nurni MAIPs tersebut dan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia memberi perhatian kepada pelajar tingkatan 6 terutamanya yang terdiri dalam kalangan anak-anak B40. Meskipun kurang berkemampuan tidak menjadi penghalang untuk meraih keputusan yang cemerlang di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memberangsangkan seterusnya berjaya menempatkan diri mereka ke peringkat universiti.

Program simbolik pelancaran tersebut diadakan bersekali dengan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Sanglang.

Menyentuh mengenai program kayuhan yang disertai beliau mengiringi Tuanku Pemangku Raja, Menteri Pendidikan Malaysia tersebut menyatakan bahawa aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang bertujuan untuk menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan secara tidak langsung akan menjadi sumber kekuatan untuk anak-anak dari keluarga yang kurang bernasib baik terbabit untuk berjaya dalam pendidikan bagi mengubah nasib keluarga mereka.

“Saya sangat teruja dan gembira kerana dapat bersama-sama menyertai program ini, menyaksikan bagaimana Tuanku Pemangku Raja Perlis sendiri turun padang, berjumpa dengan masyarakat dan menyalurkan bantuan secara terus. Ia merupakan teladan yang sangat tinggi bagi memastikan rakyat yang memerlukan mendapat perhatian daripada pemerintah dan pemimpin negeri di kala negara ini ‘kebanjiran idola dan ketandusan teladan’”, tambah beliau lagi.

Dalam program yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada tiga buah keluarga asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Sobray Ramli, 62 tahun dari Kampung Kepala Batas, Baharom Hamid, 83 tahun dari Kampung Tengah dan Nayan Ahmad, 76 tahun dari Kampung Rama.

Kayuhan amal sejauh 15 kilometer ini turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Persekutuan dan Negeri di Perlis bagi sama-sama menyelami dan mendengar masalah rakyat seterusnya mencari solusi yang terbaik.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button