Tottenham pecat Mourinho
TOTTENHAM Hotspur mencipta kejutan sensasi apabila memecat Jose Mourinho. Keputusan itu dibuat selepas Tottenham diikat seri 2-2 dengan Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi Sabtu lalu (waktu Malaysia) yang menjadi punca kepada mereka jatuh ke tangga ketujuh.
Bekas pemain tengah Tottenham, Ryan Mason dan bekas bos Charlton serta Huddersfield, Chris Powell dilantik sebagai pengurus sementara. Mourinho dilantik sebagai pengurus Tottenham pada November 2019, sehari selepas Mauricio Pochettino dipecat.
Warga Portugal itu memimpin Tottenham dengan menamatkan kempen mereka di kedudukan keenam, tetapi gaya permainannya sering gagal menambat hati peminat.
Staf kejurulatihan, Joao Sacramento, Nuno Santos, Carlos Lalin dan Giovanni Cerra turut dipecat daripada jawatan masing-masing.
“Jose dan staf kejurulatihan telah bersama kami mengharungi waktu yang mencabar bersama kelab. Jose seorang profesional sejati yang menunjukkan ketahanan luar biasa sepanjang pandemik. Secara peribadi saya seronok bekerja dengannya dan berasa kesal ia tidak berjalan seperti yang kami berdua bayangkan.
“Dia sentiasa dialu-alukan di sini dan kami sepatutnya berterima kasih kepadanya dan staf kejurulatihan di atas sumbangan mereka,” kata Pengerusi Tottenham, Daniel Levy.
Tottenham bergelut dengan prestasi dalam aksi Liga Perdana, musim ini, dan diaibkan apabila tersingkir di peringkat 16 akhir Liga Europa selepas tewas menerusi agregat 2-3 kepada Dinamo Zagreb.
Bagaimanapun, mereka bakal berdepan Manchester City dalam perlawanan akhir Piala Liga, hujung minggu depan bagi pemburuan trofi pertama kelab itu dalam tempoh 13 tahun.
Julian Nagelsmann dikhabarkan menjadi calon kegemaran menggantikan Mourinho di White Hart Lane. Namun, jurulatih RB Leipzig itu turut menjadi sasaran No. 1 Bayern Munich bagi menggantikan Hansi Flick jika dia meninggalkan Allianz Arena, musim panas ini.
Flick mengumumkan hasratnya meninggalkan Bayern, hujung minggu lalu, tetapi kelab Bundesliga itu tidak menerima peletakan jawatannya dan berhajat mengekalkan jurulatih tersebut untuk musim 2021/22.
Berita itu hadir selepas Spurs menjadi salah sebuah enam kelab Liga Perdana yang menandatangani untuk bermain dalam Liga Super Eropah, dengan perancangan tersebut mendapat kritikan hebat para peminat, walaupun pemecatan berkenaan tidak mempunyai hubung kait.
Dalam satu kenyataan oleh Tottenham Hotspur Supporter Trust berhubung pelan tersebut menjelaskan:
“Semalam, Lembaga THFC telah mengkhianati kelab, sejarah dan magis yang menjadikan perlawanan itu sangat istimewa apabila mengumumkan untuk meletakkan nama mereka bagi menyokong kewujudan Liga Super Eropah.
“Kenyataan ini telah ditandatangani ‘kelab terkemuka’ yang melantik diri mereka sendiri dikeluarkan pada Ahad malam. Ia dibuat tanpa merujuk kepada pandangan penyokong, walaupun cukup jelas perancangan itu mendapat tentangan.
“Kami sering cuba mengekalkan kedudukan yang pragmatik dengan Lembaga kelab, walaupun dalam keadaan yang serba mencabar. Tetapi ini sudah melampau.
“Lembaga nampaknya bersedia untuk meletakkan reputasi dan masa depan kelab dengan mengutamakan sikap tamak. Salah sebuah kelab paling popular di England bakal berdepan penyingkiran daripada Liga Perdana Inggeris. Para pemain pula bakal disekat daripada beraksi dalam pertandingan antarabangsa.
“Namun, pemilik yang selama ini menjadi penjaga kepada institusi berusia 139 tahun itu bersedia mempertaruhkan semuanya kerana sikap tamak dan tidak bertanggungjawab.
“Kami mendesak Lembaga THFC segera memutuskan hubungan mereka dengan liga baharu tersebut.
“Hanya dengan cara itu perbincangan yang bermakna mengenai perubahan dapat berlaku. Sekiranya Lembaga tidak melakukan ini, kita tidak akan mempunyai pilihan selain meminta pemilik baharu yang bersedia melindungi masa lalu, masa kini dan masa depan kelab hebat kami untuk melangkah maju serta bekerjasama dengan kami.” – Mirror – SM