Rencana

Agama bukan hanya untuk mereka yang tutup litup sahaja

ulama

SAYA bersetuju dengan Pencetus Ummah (PU) Amin bahawa bukan satu kesalahan apabila bergambar bersama dua wanita seksi menampakkan aurat di bulan Ramadan.

Amin, 31, menganggap perkara tersebut tidak ada salahnya memandangkan dirinya bukan sedang berpelukan atau menyentuh wanita-wanita tersebut.

Kita kadangkala terperangkap dalam pemikiran jumud hingga tidak dapat melihat aspek baik. Sedangkan ia satu perkembangan baik kerana pada pendakwah kini mendapat perhatian masyarakat.

Ini bermakna dakwa yang dijalankan berkesan dan ia membuka hati mereka untuk mendekati serta memahami agama Islam.

Menurut Amin, dia juga sedar gambar yang dirakam oleh individu tertentu pada malam Sabtu lalu di sebuah hotel terkemuka di ibu kota itu akan dimuat naik dalam media sosial dan seperti diduga akan mendapat kecaman orang ramai.

“Betul, pakaian mereka tidak menutup aurat. Tapi tak akanlah bila orang nak bergambar saya nak kata ‘tak boleh, awak ahli neraka’? Samalah juga jika ada golongan mak nyah yang nak bergambar, tak akan saya nak cakap begitu?

“Orang perli dan sindir saya senyum dalam gambar itu. Habis, dah namanya ambil gambar, tak akanlah saya nak buat muka marah pula?

“Pula itu, ada kalangan warganet yang komen itu sengaja jadikan ia bahan perbalahan parti politik pula,” lapor Utusan Malaysia.

Terdahulu, sekeping gambar yang memaparkan dirinya bersama dua wanita seksi dalam sebuah majlis tersebar meluas setelah ia dikongsi oleh seorang daripada wanita tersebut di dalam akaun media sosialnya.

Tampil menjelaskan, Amin berkata, dia hadir ke majlis berbuka puasa itu sebagai tetamu jemputan untuk membacakan doa selain memberikan tazkirah maghrib sebelum segera pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai imam di sebuah masjid.

“Sebelum pergi pun, saya dah bincang dengan isteri dan rakan-rakan. Semua kata ini peluang untuk berdakwah dan itulah yang saya lakukan semasa berada di majlis berkenaan.

“Depan-depan saya cakap semasa beri tazkirah kepada semua tetamu yang hadir. Saya sentuh mengenai topik pematuhan pakaian, sensitiviti di bulan Ramadan, kuasa dan keampunan Allah SWT, semua nampak gembira dan menerima baik bila dengar ceramah saya.

“Selama ini orang asyik kata saya cuma cakap dan nasihat orang dalam Facebook saja, bila saya turun padang macam ini dan bukannya cuma berada di surau atau masjid, pun kena kecam juga? Macam mana ini?” katanya.

Dalam pada itu, kata Amin lagi, dia juga telah pun meminta agar gambar tersebut diturunkan daripada pemilik akaun media sosial tersebut namun tidak pasti sama ada ia sudah dilakukan atau tidak.

Selain itu, dia juga tidak menolak wujudnya andaian jika gambar itu digunakan bagi tujuan melonjakkan jenama produk tertentu tanpa pengetahuannya selain mendoakan semua yang terlibat mendapat hidayah.

Saya teringat pengalaman ketika bertugas di Jakarta, Indonesia. Ketika itu saya mencari pesanteren moden untuk didaftarkan anak bersekolah.

Ada sebuah pesanteren moden yang serba lengkap, tetapi kerana ibu bapa yang datang mengambil anak-anak pulang tidak tutup aurat menyebabkan saya membatalkan hasrat untuk menghantar anak ke sekolah agama berkenaan.

Pada pandangan saya sekolah atau pesanteren itu gagal dan terlalu komersial dan sanggup menerima anak-anak dalam kalangan mereka yang mengamal gaya hidup tidak selaras dengan ajaran Islam.

Bagaimana setelah bertanya kepada para ustaz dan kiyai di Indonesia baharu saya sedar, bahawa agama dan dakwah bukan milik mereka yang berpakain tutup litup sahaja.

Agama dan dakwah adalah hak semua. Tidak kira apa cara pakaian dan kehidupan mereka, keperluan agama tidak harus dinafikan.

Jika orang agama dan kita menjauhkan diri daripada mereka kehidupan mereka akan lebih jauh menyimpang. Jadi menjadi tanggungjawab masyarakat khususnya mereka yang arif di dalam bidang agama untuk turut berdakwah kepada golongan sedemikian.

Dakwah tidak seharusnya berlangsung di masjid semata-mata, tetapi perlu turun ke padang dan kita perlu buka mata dan minda.

(Visited 465 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button