Ekonomi

Totalife sasar jualan RM50 juta 2023

SYARIKAT pengeluar produk kesihatan jenama Totalife (M) Sdn Bhd (Totalife) menyasarkan jualan sebanyak RM50 juta tahun depan menerusi perancangan pelancaran produk bioteknologi dan pelan pemasaran yang komprehensif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Danny Chew berkata, ia berikutan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan semakin meningkat selepas berlakunya pandemik Covid-19 dua tahun lepas.

Menurut beliau, Totalife kini secara agresif memperkenalkan produk-produk bioteknologi yang eksklusif di mana ia mendapat sambutan luar jangkaan di pasaran tempatan.

“Setelah melancarkan produk bioteknologi kami yang pertama iaitu SOLUS I pada tahun 2020, kami dapati produk ini dan generasi produk yang seterusnya juga mendapat sambutan yang hebat di pasaran luar Malaysia.

“Kami telah mencapai jualan tahunan sebanyak RM10 juta dengan pelancaran SOLUS I dan seterusnya, syarikat telah mempertingkatkan formulasi produk dan melancarkan SOLUS II yang telah membawa jualan sebanyak RM30 juta pada tahun lalu.

“Jadi, kami mengambil keputusan untuk menembusi pasaran yang baharu tahun depan termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei selain Hong Kong dan Taiwan yang merupakan negara paling aktif dalam industri jualan langsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Totalife meraikan sambutan ulang tahun ke-27 syarikat dengan dihadiri oleh lebih 2,000 pengedar dari seluruh negara termasuk negara jiran, baru-baru ini.

Beliau berkata, dengan pelancaran produk SOLUS III baru-baru ini, syarikat akan mencapai sasaran jualan sebanyak RM50 juta pada 2023.

Jelas beliau, dengan adanya produk SOLUS III yang semakin tinggi permintaan di pasaran syarikat akan melancarkan produk baharu pada tahun depan.

Pada masa ini, katanya, Totalife mempunyai 40,000 pengedar dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mengenai perancangan syarikat pada tahun 2023, Danny memberitahu, selain membuka pasaran baharu dan melancarkan produk bioteknologi yang baharu, Totalife juga menyasarkan untuk mening­katkan jumlah pengedar sebanyak tiga kali ganda.

Justeru kata beliau, pihak syarikat akan rancak menganjurkan aktiviti sebanyak dua kali ganda menerusi sesi perkongsian ilmu antara doktor dan pakar berkaitan kesihatan dari Taiwan dengan pelanggan.

Di samping itu, ujarnya, Totalife merangka untuk bekerjasama dengan pakar-pakar profesional dalam industri lain bagi menembusi pasaran industri yang berlainan bagi rangkaian produknya. – SM

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button