Mahkamah

Penghantar makanan didakwa tumbuk muka, tendang isteri

Hanya kerana menolak ajakan untuk hadir ke majlis tamat latihan adiknya, seorang isteri ditumbuk dan ditendang oleh suaminya dalam kejadian 8 Disember lalu.

Tertuduh, Kamal Ariffin Sehat, 40, dituduh melakukan perbuatan tersebut di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.

Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah bagaimanapun pengakuan tersebut ditolak oleh Majistret Mazana Sinin kerana pengakuan itu dibuat secara bersyarat.

Tertuduh didakwa telah mendatangkan kecederaan kepada isterinya dengan menumbuk muka dengan tangan dan menendang bahagian belakang badan mangsa.

Ketika pengakuan dibuat, Kamal hanya mengaku menarik rambut dan menampar muka mangsa dengan mendakwa, wanita itu telah memanggil ibunya sebagai anjing.

Mahkamah kemudiannya menolak pengakuan bersalah berkenaan selepas pihak pendakwaan ingin mengekalkan pertuduhan seperti dinyatakan.

Tertuduh melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 9.00 malam di sebuah premis di Taman Tanjung Minyak Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Disember 2022.

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Difahamkan, insiden berlaku selepas tertuduh mengajak isteri bersama lima anak mereka hadir ke majlis tamat latihan adiknya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Si isteri kemudian menolak pelawaan tersebut lantas membuatkan tertuduh menjadi marah dan mencederakannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha menawarkan jaminan RM10,000 beserta syarat tambahan iaitu tidak boleh menganggu mangsa dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan mempunyai tanggungan lima anak, selain hanya bekerja sebagai penghantar makanan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dan bersetuju dengan syarat tambahan pendakwaan, seterusnya menetapkan 26 Januari 2023 sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam. – SM

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button