fbpx
BeritaPolitik

Tok Pa berjawatan menteri masuk bertanding?

Analisis oleh Zack Jay

TARIKH 4 April tidak lama.

Hanya kira-kira empat bulan dari sekarang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyaksikan pemilihan semua jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) penggal 2019-2022.

Menanti pemilihan yang juga melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib-naib presiden (andainya ada), adakah pengumuman jawatan menteri pendidikan dipangku oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini ada kaitan dengan perebutan jawatan-jawatan parti ini?

Sebelum ini kebanyakan pemerhati menjangkakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Mustapa Mohamed sebagai pilihan terbaik mengisi kekosongan jawatan menteri pendidikan selepas Dr Maszlee Malik berundur.

Selain kuota menteri pendidikan daripada Bersatu, Tok Pa yang mempunyai hubungan yang baik dengan Perdana Menteri khususnya Tun Daim Zainuddin diyakini pilihan terbaik.

Beliau pernah menjadi menteri pengajian tinggi dan menteri perdagangan dan industri antarabangsa, sekali gus suatu nilai tambah kepada Kabinet jika terpilih.

Pokok persoalannya, jika benar Mustapa calon favourite untuk mengisi portfolio pendidikan, adakah pelantikannya harus dibuat dalam waktu terdekat atau membiarkan saja Tok Pa mengharungi persaingan pemilihan?

Harus diingatkan, pemilihan Bersatu dan UMNO tidak sama. Tok Pa dikira pendatang baharu dalam Bersatu. Jangan fikir beliau boleh meraih pencalonan tinggi seperti dinikmatinya dalam pemilihan UMNO berpenggal-penggal sebelum ini.

Dalam persaingan jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, kedudukan Tok Pa tidak lari dari lima tempat teratas daripada 25 jawatan yang diperuntukkan.

Namun dalam pemilihan Bersatu nanti, Tok Pa belum pasti siapa penyokong atau pengundinya. Beliau yang dikenali sebagai seorang yang lurus dan workaholic pasti akan dikekang kemaraannya oleh pesaingnya.

Dalam aspek ini, barangkali Dr. Mahathir ada percaturannya sendiri. Pada pengamatan Suara Merdeka, agak `selamat’ jika Tok Pa dilantik menteri pendidikan sebelum memasuki gelanggang pemilihan Bersatu.

Dengan itu, tiada hint atau petunjuk yang sukar dibaca oleh ahli-ahli Bersatu untuk secara terbuka memilihnya untuk sekurang-kurangnya menduduki salah satu jawatan Naib Presiden parti.

Dan tidaklah seperti `petunjuk-petunjuk’ yang lepas, seperti mana berlaku dalam UMNO selama puluhan tahun menyaksikan presiden dikatakan `sentiasa memberi bayangan kepada perwakilan untuk memilih si polan-si polan’ sebagai pemenang jawatan.

Begitupun segala keputusan terletak kepada Perdana Menteri.

Dalam usia 94 tahun, beliau masih terkenal dengan tindakannya yang pantas dan berhasil seperti mana semasa menjadi PM fasa pertama dahulu.

Dalam usianya yang lanjut mencecah satu abad, kepintaran berolah dan berintekrasinya memberi kepadanya dividen keganjilan dan keunikan.

Langkahnya masih panjang walaupun gontai, turun naik tangga masih mampu dan bertenaga.

Kemampuannya walaupun sendat, sesekali lantas memaparkan otak yang masih cergas.

Tok Pa dikatakan diyakini oleh mereka yang berpengalaman dalam Kabinet Dr. Mahathir era lepas sebagai calon yang layak untuk mengisi menteri pendidikan.

Kita tunggu ketentuan dan nasib Tok Pa dalam seminggu dua ini.

Show More

Related Articles

Back to top button