fbpx
Politik

Tok Mat terlibat dalam ‘langkah Sheraton’ menjadikan taruhan tidak bermakna

AKHIRNYA Penasihat DAP Lim Kit Siang menjawab desakan untuk beliau menunaikan janji untuk bersara politik sekiranya Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kit Siang berkata, taruhan yang dibuat dengan  Datuk Seri Mohamad Hasan itu tidak lagi bermakna selepas Timbalan Presiden UMNO terlibat dengan langkah Shareton.

Kit Siang berkata, langkah tersebut bukan sahaja menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan runtuh tetapi juga menyebabkan negara berhadapan dengan gelombang kedua Covid-19.

“Tidak ada sesiapapun yang terkejut jika seorang askar siber perlu bekerja lebih masa untuk memanipulasikan isu semasa.

“Tetapi untuk Tok Mat berbuat demikian, sedangkan beliau sendiri pun bertanggungjawab dalam menjayakan Langkah Sheraton — yang telah membuatkan taruhan ini tidak bermakna lagi


“Yang bukan sahaja telah menamatkan pentadbiran Tun Dr Mahathir dan Pakatan Harapan, malah juga menjadi punca gelombang kedua wabak Covid-19 berlaku dalam negara kita yang telah mencatatkan 6,656 kes dan 108 kematian,” kata Kit Siang.

BACA Tak sampai 9 jam, lebih 12,000 tandatangan petisyen desak Kit Siang tunai janji

Menurut Kit Siang, tindakan Mohamad membangkitkan janji tersebut seakan-akan aksi seorang askar siber UMNO.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa, Mohamad tidak berani menerima cabaran tersebut walaupun beliau telah memberikan tempoh dua hari kepada Mohamad untuk menerimanya.

“Saya telah katakan tahun lepas, semasa PRK Sandakan, yang saya bersedia untuk bertaruh dengan Tok Mat bahawa Tun Dr Mahathir akan mengotakan janji beliau untuk memberikan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak membubarkan Parlimen sebelum berbuat demikian.

“Tetapi Tok Mat tidak berani menerima cabaran tersebut walaupun saya telah berikan dua hari untuk beliau menerimanya,” kata Kit Siang.

Semalam Mohamad berkata, Kit Siang telah banyak kali berjanji akan mengundurkan diri dari politik namun ia tidak pernah dikotakan.

Disebabkan sikap Kit Siang yang sering memungkiri janji membuatkan Mohamad tidak suka bertaruh dengan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

“Perjalanan politik beliau selalu diwarnai dengan taruhan, janji palsu dan kemungkiran. Kerana itu saya tidak suka bertaruh dengan beliau kerana saya tahu, taruhan politik beliau harganya ialah kemungkiran.

“Hari ini, saya menunggu ajakan beliau bertaruh semula. Entah apa pula cabaran beliau untuk saya kali ini.

“Beliau terus-terusan bertanding dalam pilihanraya seakan DAP ini tidak boleh kemana tanpanya,” kata Mohamad.

Pada 10 Mei tahun lalu media melaporkan Kit Siang berkata, beliau sedia bersara dari politik jika Dr. Mahathir enggan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Pemimpin veteran DAP itu membuat janji tersebut bagi membalas kenyataan Mohamad yang mendakwa Dr. Mahathir lebih rela membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya daripada memberikan kerusi perdana menteri kepada Anwar selepas dua tahun.

“Saya sangat yakin dengan Mahathir dan saya sedia ‘bertaruh’ dengan Mohamad bahawa Dr Mahathir akan menunaikan komitmen (Pakatan ) Harapan memberikan proses peralihan kuasa jawatan perdana menteri kepada Anwar.

“Jika, Mahathir tidak memberikan jawatannya kepada Anwar, sebaliknya membubarkan parlimen untuk mengadakan PRU15 lebih awal, saya akan bersara dari politik dan tidak akan bertanding pada PRU15.

“Sekiranya, Mahathir berpegang kepada kata-kata beliau dan memberikan jawatan kepada Anwar, kemudian Mohamad perlu berundur dan tidak akan bertanding pada PRU15,” kata Kit Siang seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button