Nasional

TMJ kecewa, rakyat Johor dianak tirikan?

TENGKU Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim hari hari ini meluahkan rasa kecewa apabila melihat tiada sebarang usaha pemulihan yang dilakukan di tapak wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah yang terbakar tiga tahun lepas.

Baginda yang melakukan kunjungan ke hospital berkenaan hari ini terkejut kerana melihat keadaan wad itu yang masih mempunyai kesan kebakaran dan seolah-olah tiada usaha untuk memperbaiki atau memulihkannya.


Dalam kejadian pada tiga tahun lepas berlaku kejadian yang mengejutkan seluruh rakyat Malaysia apabila wad ICU di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru terbakar yang menyebabkan enam pesakit terkorban.

Ujar baginda, sepatutnya kejadian itu menjadikan kita lebih teliti dan prihatin terhadap kebajikan rakyat.

“Adakah rakyat Johor kini dianak-tirikan sehinggakan fasiliti penting untuk rakyat Johor telah menjadi tempat terbiar? Sehingga hari ini, mengapa insentif-insentif kerajaan persekutuan untuk kerajaan negeri dan rakyat Johor semakin berkurangan, sehinggakan selepas tiga tahun pun wad hospital tidak dibaiki?

“Saya berharap agar hal yang melibatkan kepentingan rakyat tidak diabaikan begitu saja, kerana itulah yang perlu diutamakan oleh pihak yang memerintah,” katanya.


Ujar baginda lagi, dalam keadaan ekonomi negara sekarang yang sukar, kebajikan rakyat dan terutamanya kemudahan asas seperti kemudahan perubatan haruslah diberikan keutamaan.

“Johor menyumbang 9.6% terhadap ekonomi negara pada tahun 2018, iaitu sebanyak RM138.9 billion. Maka rakyat Johor berhak untuk mendapatkan kemudahan yang terbaik bagi kesenangan hidup mereka,” ujar baginda.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button