Nasional

Tipu berat, KPDNHEP sita 50 kotak minyak masak paket

Kelicikan sebuah kilang mengurangkan isipadu minyak masak paket tidak mencukupi sekilogram berjaya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka.

Pemeriksaan mengejut dilakukan oleh KPDNHEP di kilang tersebut kira-kira pukul 3.00 petang semalam dan berjaya menyita 50 kotak minyak paket keluaran syarikat itu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, hasil pemeriksaan yang dibuat memang benar sebanyak 850 paket minyak masak untuk diedarkan itu didapati tidak menepati isipadu sekilogram.

Menurutnya, atas penyelewengan itu KPDNHEP merampas kesemua 50 kotak minyak masak paket itu.

“Hasil pemeriksaan kita dapati berat setiap paket minyak masak itu kurang antara 20 hingga 100 gram ketika ditimbang secara rawak.

“Apabila penguatkuasa kita buat timbangan setiap paket minyak masak itu didapati beratnya kurang antara 0.92 gram, 0.93 gram,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan mengejut ke atas pengeluar minyak masak paket di Batu Berendam, Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem.

Norena berkata, sepatutnya, berat minyak masak paket jika ditimbang perlu melebihi satu kilogram seperti 1.001 kg atau 1.10 kg ke atas.

Mengulas lanjut, Norena turut memaklumkan pihak kilang terbabit turut memberi alasan kononnya alat timbangan mengalami masalah antara punca berat minyak masa paket itu kurang daripada sekilogram.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 5(1)(B) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM 500,000.

Jelasnya, setakat ini pihaknya telah memeriksa lapan daripada 12 kilang pengeluar minyak masak paket di Melaka. – SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button