Rencana

Tindakan Sajat menyebabkan Islam difitnah

RAMAI dalam kalangan bukan Islam dan segelintir yang beragama Islam tidak memahami mengapa kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan golongan transgender berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah dan haji.

Ini termasuklah mereka yang terlibat dalam agensi yang menguruskan ibadah berkenaan.

Ada yang apabila ditanya berhubung isu Sajat memberi jawapan ia bergantung kepada di belah mana beratnya perasaan individu itu sama ada lelaki atau perempuan.

Jika dia lebih berat kepada perempuan maka dia dibenarkan berpakaian seperti perempuan dan fahaman itulah yang dipegang oleh Sajat dan ahli keluarga serta dua rakannya.

Ada yang menganggap itu soal peribadi iaitu masalah dengan tuhan dan biarkan tuhan yang membuat penilaian.

Lebih parah lagi bukan sahaja bukan Islam, bahkan yang beragama Islam sendiri menganggap perbuatan melarang golongan berkenaan beribadah sebagai satu bentuk diskriminasi.

Komen-komen sedemikian di media sosial menyebabkan Islam difitnah sebagai agama yang tidak memberi hak yang sama dan tidak bertoleransi.

Untuk menjelaskan kepada mereka yang bukan beragama Islam agak sukar difahami kerana apabila soal ibadah ia memerlukan seseorang itu mendalami terlebih dahulu ajaran Islam.

Jika dengan beberapa patah ayat di media sosial ia gagal memberi penjelasan dan mudah disalah tafsir.

Mereka sendiri tidak faham tentang aurat di dalam Islam, apatah lagi untuk memahami ibadah dan perkara berkaitan seperti adab serta perkara yang dilarang.

Ada yang menganggap perkara ini remeh dan tidak perlu diperbesarkan. Sedangkan ia perkara yang sangat serius perlu ditangani oleh pihak yang arif dan berkuasa di dalam bidang agama.

Isu ini tidak akan berakhir di situ, kerana ia boleh menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi jika tidak diurus dengan baik.

Ini akan menjejaskan peluang umat Islam di negara ini keseluruhan untuk menunaikan ibadah haji dan umrah pada masa hadapan.

Perkara ini berakar umbi daripada kelemahan pihak berkuasa agama yang terlalu berlembut dengan golongan berkenaan yang memanipulasi isu jantina mereka untuk meraih publisiti murahan demi melariskan produk diniagakan.

Sedangkan terang-terangan tindakan mereka itu telah melanggar syariat Islam dan perlu dikenakan hukuman tegas supaya menjadi pengajaran kepada pihak yang lain.

Dalam kes Sajat ini mungkin denda tidak lagi relevan kerana status beliau kini jutawan kosmetik.

Pihak berkuasa tidak lagi boleh membutakan mata dan memekakkan telinga.

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button