Nasional

UMNO mula ambil tindakan undang-undang terhadap Syed Saddiq

PERGERAKAN Pemuda UMNO mula mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddid Syed Abdul Rahman berhubung kenyataan beliau mendakwa UMNO disyaki dalang gangguan majlis ramah mesranya bersama ahli Armada di sebuah restoran dekat Ulu Tiram, Johor.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, notis tuntutan permohonan maaf tersebut telahpun dihantar semalam melalui Peguamcara dan Peguambela Irmohizam Rosley dan Nik Adly.

“Seperti yang dijanjikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melalui peguam kami saudara Nik Saiful Adli yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia telahpun memulakan prosedur saman YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Dengan menghantar Notis Tuntutan Permohonan Maaf atas kenyataan fitnah beliau di laman Facebook yang mengaitkan UMNO dengan insiden lari lompat pagar meninggalkan ibu dan penyokong-penyokong kamu di Johor baru-baru ini,” kata Asyraf Wajdi.

Ketua Armada Bersatu itu diberikan tempoh tiga hari untuk memohon maaf secara terbuka kepada semua ahli UMNO.

“Kegagalan kamu wahai YB Syed Saddiq menjawab notis ini dalam tempoh tiga hari maka Notis saman pula akan menyusul. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya,” kata Asyraf Wajdi.

Pada 1 Februari lalu, Syed Saddiq dalam Facebooknya mengesyaki pihak pembangkang iaitu UMNO telah datang ke majlis Rapat Umum bersama ARMADA di Ulu Tiram, Johor dan membuat kekecohan.

Susulan itu Armada Bersatu telah membuat laporan polis dan mendakwa mempunyai rakaman video wajah-wajah mereka yang terlibat untuk dijadikan sebagai bahan bukti

“Ketika program dijalankan, ada sekumpulan individu yang tak dikenali datang dan mencetuskan huru-hara. Mereka disyaki daripada pihak Pembangkang iaitu UMNO yang sengaja datang untuk menganggu program kami.

“Namun tindakan mereka sangat ganas dan merbahaya. Mereka melemparkan kata-kata kesat, memaki hamun dan menghalau kami semua,”  kata Syed Saddiq.

Dalam kejadian tersebut, Syed Saddiq mendakwa beliau telah dinasihatkan oleh pihak polis untuk meninggalkan majlis. Gambar Syed Saddiq memanjat pagar ketika melarikan diri dari majlis tersebut menjadi tular di media sosial.-SM

(Visited 488 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button