KERAJAAN perlu tegas dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju yang tidak dapat menyiapkan projek perumahan tepat pada masanya, kata Ahmad Maslan (BN-Pontian).
Beliau berkata syarikat seumpama itu perlu disenaraihitamkan dan dibawa ke mahkamah.
“Syarikat-syarikat ini perlu dibawa ke muka pengadilan dan mesti mengembalikan wang yang dibayar oleh pembeli rumah. Senaraikan hitam (mereka) dan bawa mereka ke mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Maslan berkata syarikat itu boleh dianggap telah menipu pembeli kerana mereka telah menyatakan dalam iklan mereka bahawa projek itu akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun atau lebih, tetapi gagal memenuhi tarikh akhir.
Beliau menjawab soalan Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort), yang bertanyakan kepada kementerian perumahan dan kerajaan tempatan apakah usaha yang diambil untuk menyelesaikan isu projek perumahan terbengkalai selepas Covid-19.
Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Ismail Abd Muttalib berkata tindakan telah pun diambil terhadap syarikat tersebut.
Beliau berkata tindakan syarikat itu bukan sahaja menjejaskan pembeli tetapi juga kerajaan, yang terpaksa mengeluarkan dana untuk membayar syarikat lain untuk memulihkan projek terbengkalai.