Nasional

Pasangan suami isteri ditahan, dadah bernilai RM2 juta dirampas

POLIS menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dan melakukan rampasan bernilai RM2 juta pada Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suami warga tempatan berusia 34 tahun itu ditahan di medan selera di Jalan Raja Musa Mahadi manakala isterinya warga Vietnam berusia 38 tahun ditahan di sepanjang jalan di Panorama Lapangan Perdana kira-kira jam 4.40 petang.

Katanya, pemeriksaan ke atas sebuah kereta milik suspek lelaki itu menemui 10 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta lain di tempat letak kereta sebuah pangsapuri menemui 10 bungkusan plastik mengandungi dadah sama.

“Polis turut merampas seutas jam tangan berjenama, gelang kaki, sebentuk cincin dan gelang, kesemuanya dianggarkan bernilai RM83,315,” katanya pada sidang media hari ini.

Mior Faridalathrash berkata lelaki yang bekerja di sebuah kedai cermin dan aluminium itu didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala ujian dadah yang dijalankan ke atas isterinya didapati negatif.

Pasangan itu, kedua-duanya tidak mempunyai rekod lampau, dipercayai aktif dalam pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu.

Mereka ditahan reman selama seminggu bermula Jumaat lalu hingga Khamis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button