JenayahNasional

Timbalan Presiden PKR dipanggil polis beri keterangan berkaitan LCS

TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli akan memberi keterangan kepada polis petang ini berhubung dakwaan beliau berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Menurut Rafizi, beliau telah dipanggil polis untuk dirakam kenyataan berikutan laporan polis yang dibuat minggu ini.

“Saya akan hadir pada jam 3 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Rafizi dipanggil polis sebelum ini susulan laporan yang dibuat terhadapnya berkaitan dakwaan projek LCS.

Rafizi mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abd Latiff Ahmad mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.


Beliau didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog serta menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok.

Susulan itu, pegawai Latiff membuat laporan polis terhadapnya yang disifatkan fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.

Pada 31 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kesalahan memfitnah) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penyebaran kenyataan jelik).

Khamis lalu, Latiff memberi keterangan kepada polis berhubung laporan ke atas Rafizi berhubung dakwaan projek LCS.

Sementara itu, Rafizi juga berharap polis akan bertindak secepat mungkin untuk menyiasat laporan dibuat Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir terhadap Latiff mengenai pendedahan laporan forensik LCS yang mendakwanya terbabit dalam kontrak pertahanan. – SM

(Visited 60 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button