NasionalNegeri

Raja Muda berkenan rasmi   ‘Sarawak Le Tour De Borneo – From Perlis To East Malaysia 2022’

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan seminar  ‘Sarawak Le Tour De Borneo – From Perlis To East Malaysia 2022’ anjuran Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju Dan Akut Serta Ultrasound Malaysia, (MAAIMUSS) Perlis di Auditorium Clinical Research Centre (CRC) Hospital Umum Sarawak, Kuching, petang semalam.

Keberangkatan Baginda yang diiringi Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Presiden MAAIMUSS, Datuk Seri Prof Dr. Paras Doshi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ismuni Bohari dan Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr Ngian Hie Ung.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Penaung MAAIMUSS bertitah, “Kita mesti bersedia dan menambah baikkan lagi perkhidmatan untuk menghadapi sebarang gelombang mahupun krisis kesihatan di masa hadapan.,”.

Baginda bertitah, selain itu mesti memberi tumpuan kepada gelombang seterusnya iaitu ‘Penyakit Tidak Berjangkit (NCD)’.

Titah Baginda, gelombang ini dijangka akan berpanjangan melanda kita berbanding gelombang pandemik Covid-19 dan jika petugas warga kesihatan tidak bersedia secukupnya untuk menghadapi NCD ini, ia mungkin akan memberi kesan yang lebih besar terhadap sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan akan turut mampu meruntuhkan sektor kesihatan yang kita sedang bina ini.

Justeru titah Baginda lagi, sektor kesihatan Malaysia secara keseluruhannya mesti sentiasa berinovasi dan mengamalkan amalan terbaik bagi menjadikan sistem penjagaan kesihatan kita lebih ke hadapan, berdaya tahan dan cekap.

Baginda turut mengingatkan bahawa kita mesti sama-sama bersiap sedia untuk belajar dan mengambil pedoman daripada negara dan tempat lain bagi menyesuaikan amalan positif yang diamalkan oleh pihak luar, bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan tempatan kita sentiasa ke hadapan dan tidak ketinggalan, di mana Perubatan Dalaman Maju dan Akut merupakan satu contoh yang baik bagi pengamalan yang perlu diterapkan.

Raja Muda dalam titah  berharap agar MAAIMUSS akan terus menerajui kaedah penggunaan ‘Bedside Point of Care Ultrasound’ oleh doktor di seluruh negara.

Inisiatif ini seharusnya, titah Baginda diperluaskan ke sektor kesihatan negeri-negeri lain juga, di mana keperluan dan manfaat program sebegini mampu memberikan kesan yang besar.

Baginda bertitah, kerjasama yang erat antara semua pihak amat diperlukan dalam menjayakan inisiatif kolaboratif seperti ini yang menggalakkan perkongsian dan pembelajaran dari negeri ke negeri.

Dengan cara ini, titah Baginda, setiap sektor kesihatan di negeri-negeri lain juga akan  mendapat manfaat daripada kemahiran masing-masing dalam bersinergi bersama.

“MAAIMUS, negeri Perlis serta negeri Sarawak telah mengambil inisiatif dan langkah awal dalam menjayakan program ini,” titah Baginda.

Justeru Baginda  menyeru kepada semua pihak dalam institusi kesihatan untuk terus memberi sokongan yang tinggi bagi memastikan impak program sebegini akan terus membawa manfaat kepada negara.

Terdahulu Dr. Paras memaklumkan bahawa matlamat utama yang perlu dicapai adalah bagi memastikan agar setiap doktor akan mempelajari kaedah mengimbasi pesakit secara terus dan seterusnya dapat menyumbang bakti kepada mereka yang memerlukannya semasa menghadapi sebarang krisis atau pandemik kesihatan kelak, dan sokongan semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan kesinambungan matlamat yang ingin dicapai dapat direalisasikan dengan baik.

Untuk rekod, selepas ditubuhkan di Kangar, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kini menjadi contoh model teladan bagi kejayaan pelaksanaan bidang yang baharu ini.

Ia telah terbukti dapat mengurangkan beban HTF termasuk menjimatkan kos yang lebih efektif.

Contoh model teladan ini wajar diikuti dan dilaksanakan di seluruh negara agar memberi manfaat kepada hospital-hospital tempatan kita yang lain. – SM

(Visited 322 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button