Nasional

Tiga pengganas ugut mahu bunuh Tun Mahathir sudah ditahan awal tahun lalu

TIGA individu yang telah mengeluarkan ancaman bunuh kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa Menteri telah ditahan pada Januari tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka bertindak demikian kerana Mahathir dan Menteri dikatakan mengamalkan kerajaan Toghut.

“Mereka juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas pusat perjudian di Genting Highlands, Pahang dan kilang arak di sekitar Lembah Klang.

“Kesemua mereka (dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia telah didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan telah dijatuhi hukuman penjara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Hamid, selain tiga individu terbabit, pihaknya turut menahan tiga lagi individu lain dalam operasi pada 6 dan 7 Januari tahun lalu.

Ujarnya, kesemua mereka ditahan kerana terlibat dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

“Malah, ketika tangkapan dilakukan, kita turut menemukan dua helai bendera kumpulan IS, sebilah parang dan pisau.

“Kesemua mereka merupakan anggota Anshorullah At Tauhid, Sel Islamic State yang ditubuhkan pada Oktober 2019 bertujuan untuk mempromosikan ideologi salafi jihad dan merekrut anggota baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid memberitahu yang ugutan bunuh tersebut sebenarnya telah dikeluarkan oleh hampir kesemua suspek pengganas Pro-Daesh yang ditangkap.

Namun, hasil siasatan pihaknya mendapati tiada sebarang perancangan atau persediaan dibuat oleh mereka untuk melaksanakan ugutan tersebut.

“Setakat ini, tiga daripada mereka sedang menjalani hukuman penjara manakala tiga lagi yang lain dibebaskan atas arahan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. -SM

(Visited 313 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button