Sukan

Lapangan Golf Putra dibaik pulih dalam keadaan terbaik – Raja Muda Perlis

Kelab Golf Putra (KGP) Perlis telah berjaya menyempurnakan sebahagian besar kerja-kerja pembaikan lapangan golf seperti pemulihan ‘Green 6’ dan ‘Green 15’ yang kini sudahpun boleh digunakan kembali melalui bantuan pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis.

Sistem saliran air juga kebanyakannya telahpun dibaiki dan dapat mengurangkan keadaan becak khususnya sewaktu musim hujan nanti.

Pada masa ini keadaan lapangan berada di tahap terbaik. Keadaan persekitaran rumah kelab juga telah bertambah baik dan adalah diharapkan semoga tahap kebersihan juga akan sentiasa diberikan perhatian oleh semua.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau lapangan golf kelab berkenaan yang mempunyai pemandangan bukit-bukau serta kolam yang sungguh indah dan menarik di Sungai Batu Pahat Perlis sebelum mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa KGP Perlis kali ke-2 bagi sesi 2020-2022.

Pada kesempatan yang sama baginda mengajak supaya semua shli jawatankuasa bersama-sama lebih fokus kepada kepelbagaian pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada pendapatan sewa ‘buggies’ dan yuran bulanan sedia ada. Setiap ahli jawatankuasa juga perlu mengenalpasti peluang-peluang pelancongan sukan golf yang berpotensi dipakejkan seperti Harumanis, Hari Penternak, Nelayan dan Peladang, hotel-hotel, ejen-ejen golf dan sebagainya.

Di samping itu juga, semua ahli jawatankuasa dinasihatkan supaya berusaha untuk bekerjasama dengan penganjur-penganjur sukan golf bagi menjadikan KGP Perlis sebagai lapangan pertandingan golf mereka. Ini akan menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Perlis di samping memperkenalkan KGP Perlis ini.

Kita haruslah berusaha mengambil peluang terbaik dengan menyediakan pakej-pakej golf dan mempromosikannya bagi menarik minat pemain-pemain dari luar Perlis sementara sempadan negara masih lagi ditutup kepada pemain-pemain luar negara.

Dalam pada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Presiden Kelab Golf Putra Perlis turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Agung kelab berkenaan bagi kali yang ke 44 bakal dilaksanakan pada ahad 11 April 2021 bermula pada jam 8.30 pagi di rumah kelab itu dan seterusnya disusuli dengan satu perlawanan golf persahabatan yang dianjurkan secara bersama dengan pasukan pilihan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

(Visited 482 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button