Tiga pencalonan Squid Game dalam Critics’ Choice Awards 2022
DRAMA terkenal Squid Game mendapat tiga pencalonan untuk Critics’ Choice Awards 2022 bagi bahagian televisyen.
Squid Game menerima pencalonan bagi kategori Best Drama Series, Best Actor in a Drama Series dan Best Foreign Language Series.
Menurut Korea Herald, Squid Game menjadi siri Korea Selatan pertama yang menerima pencalonan di Critics’ Choice Awards.
Squid Game yang diproduksikan oleh Netflix akan bersaing dengan Evil (Paramount+), For All Mankind (Apple TV+), The Good Fight (Paramount+), Pose (FX), Succession (HBO), This Is Us (NBC), dan Yellowjackets (Showtime) dalam kategori Best Drama Series.
Sementara itu, dalam kategori Best Actor in a Drama Series, Lee Jung Jae yang memegang watak Seong Gi Hoon akan bersaing dengan Sterling K. Brown (This Is Us), Mike Colter (Evil), Brian Cox (Succession), Billy Porter (Pose), dan Jeremy Strong (Succession).
Dalam kategori Best Foreign Language Series, Squid Game bersaing dengan beberapa siri Netflix lain iaitu Lupin, Money Heist, Narcos: Mexico, dan Call My Agent manakala Acapulco (Apple TV+) juga termasuk dalam kategori itu.
Critics’ Choice Award 2022 akan diadakan pada 9 Januari 2022, waktu AS di Hotel Century Plaza, Los Angeles.
Squid Game baru-baru ini juga berjaya menjadi salah satu pemenang dalam Gotham Awards 2021.
Siri yang dihasilkan oleh pengarah Hwang Dong Hyuk itu memenangi kategori Breakthrough Series pada acara anugerah filem tahunan di AS.
Squid Game berjaya menewaskan lima calon lain iaitu The Good Lord Bird (Showtime), It’s A Sin (HBO Max), Small Axe (Amazon Studios), The Underground Railroad (Amazon Studios), dan The White Lotus (HBO Max/HBO).
Dalam acara ini, siri Squid Game turut dimasukkan dalam kategori Outstanding Performance in a New Series menerusi pelakon Lee Jung Jae.
Bagaimanapun, kategori ini dimenangi oleh Ethan Hawke dalam siri The Good Lord Bird (Showtown) dan Thuso Mbedu dalam siri The Underground Railroad (Amazon Studios).
Squid Game mengisahkan tentang orang yang terlilit hutang sehingga mereka bersetuju untuk mengambil bahagian dalam siri permainan zaman kanak-kanak yang boleh membawa maut.
Drama survival dystopian dari Korea Selatan ini dibintangi oleh Lee Jung Jae dan Park Hae Soo, digelar rancangan TV terbesar yang pernah ada di Netflix kerana ia mengumpulkan lebih 111 juta akaun global dalam masa 17 hari selepas ia dikeluarkan secara rasmi pada 17 September lalu. – SM