Nasional

Dasar “Cloud First” pacu kesinambungan operasi, aktiviti sektor awam dan swasta

DASAR “Cloud First” menjadi salah satu inisiatif penting Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam memacu kesinambungan operasi dan aktiviti dalam sektor awam dan swasta menerusi penyediaan platform yang kukuh bagi membantu pemulihan ekonomi negara.

Kerjasama sektor awam dan swasta menjadi tunjang utama dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara dipacu digital, berpendapatan tinggi dan peneraju ekonomi digital di rantau ini, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau yakin dasar “Cloud First” akan memacu pertumbuhan penggunaan perkhidmatan awan (cloud services) di negara ini dengan lebih meluas dan pantas dengan mewujudkan sebuah ekosistem yang kondusif dan kompetitif di peringkat serantau.

“Ekosistem perkhidmatan awan yang mantap mampu meningkatkan keyakinan para pelabur asing untuk melabur di negara ini, sekali gus memberi impak positif kepada pengukuhan ekonomi digital negara,” katanya.

Selain itu, Annuar berkata, KKMM menerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sedang menjenamakan semula dan menambah baik MSC Malaysia (MSC) bagi menjadikan ekonomi digital negara terus menarik.

“MSC baharu bertujuan untuk mengembangkan sektor fokus digital ke seluruh negara dan memangkinkan bidang pembangunan baharu untuk menjana pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.

“Ia turut akan menyokong dan mempromosikan penggunaan digital yang meluas, merentasi semua aktiviti ekonomi di Malaysia dan juga merapatkan jurang digital ke arah pengagihan kekayaan yang saksama,” katanya.

Menurut Annuar, usaha berterusan itu telah mencapai pelbagai kejayaan seperti jalinan kerjasama antara CS Cloud Sdn Bhd dan Cloocus Co. Ltd. bagi mewujudkan perkhidmatan pengurusan awan berskala hiper yang pertama di Malaysia, menerusi penubuhan syarikat kerjasama iaitu Cloocus Sdn. Bhd. (Cloocus).

Tambahnya, Cloocus akan membangun dan mengendalikan operasi pengurusan awan “skala hiper” di Malaysia sebagai tambahan kepada perniagaan Microsoft sedia ada dan bakal menjadikan Cloocus sebagai syarikat Microsoft Azure MSP nombor satu di Malaysia.

“Saya lihat kerjasama strategik yang dibentuk ini akan menjadi pemangkin kepada inisiatif “Bersama Malaysia” iaitu untuk memperkasa ekonomi digital negara secara inklusif yang merangkumi sektor awam dan swasta serta memacu ke arah sebuah negara digital.

“Kerjasama ini juga selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, yang mana semua rakyat daripada pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan, berganding bahu dalam membangunkan negara menuju ke arah status negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Annuar turut berharap kerjasama strategik seperti itu akan diperluaskan lagi, merangkumi sektor-sektor perniagaan yang lain bagi memastikan perkongsian teknologi, dan pengalaman bagi memberi manfaat kepada perniagaan tempatan.

KKMM menerusi agensi di bawahnya seperti MDEC dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa proaktif dan menyokong segala usaha untuk mengukuhkan ekosistem ekonomi digital di negara ini.-SM

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button