Tidak perlu pertikai penilaian Agong melantik PM di Parlimen – Pakar Perlembahaan
SEORANG pakar perlembagaan berpendapat penilaian dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri tidak perlu dipertikaikan menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat.
Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keabsahan seseorang perdana menteri itu wujud apabila beliau telah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong, mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani Surat Cara Pelantikan.
Menurutnya, Perdana menteri yang ada sekarang telah melalui kesemua proses itu
“Selepas lalui proses itu maka Perdana Menteri dapat keabsahan untuk laksana tanggungjawab. Kalau kita kata perlu tunggu usul undi percaya di Dewan Rakyat baru dapat keabsahan, maknanya arahan perdana menteri sebelum pengesahan di Parlimen itu tidak sah dan kedudukannya boleh dipertikai.
“Bahkan (kedudukan) menteri-menteri pun boleh dipertikai kerana perdana menteri yang nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mereka, jadi saya rasa itu satu hujah yang tidak wajar,” katanya dalam webinar Intelektual Negara bertajuk “Usul Undi Percaya: Masih Perlukah?’ di Kuala Lumpur, malam tadi.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa yang luas dalam melantik Perdana Menteri, Muhammad Fathi menjelaskan bahawa Seri Paduka sangat teliti dan mengambil kira pandangan semua pihak dalam membuat sebarang keputusan memilih pemimpin nombor satu negara itu.
Jelas beliau, ini dibuktikan dengan tindakan Seri Paduka meminta Surat Akuan Bersumpah dari Ahli Parlimen, memanggil 114 Ahli Parlimen bagi mengesahkan kepercayaan mereka terhadap Ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan sebagai perdana menteri.
Baginda turut mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan sudut moral sah, dari sudut kaedahnya sangat kukuh maka sepatutnya semua pihak terima dan move forward (terus mara) jangan tengok belakang terus bergerak laksanakan tanggungjawab,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Menerusi pendekatan diambil Datuk Seri Ismail Sabri dalam mengadakan perbincangan dengan pembangkang dan memberi ruang kepada mereka untuk berada di dalam jawatankuasa penting kerajaan, Muhammad Fathi berpendapat ia merupakan satu perkara yang amat besar.
“Jadilah pembangkang baik dengan ruang yang ada ini, kita nak pembangkang yang kuat supaya proses semak imbang berjalan dengan hebat, dalam keadaan pembangkang kuat dan diberi peluang terlibat gunakan ruang ada untuk beri sumbangan pada negara,” katanya.-SM