
HBK NADI Sim Sim Sandakan Pacu Transformasi Komuniti Digital
MENTERI Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sim Sim, Sandakan, Sabah yang menjadi platform memperkukuh agenda digital negara.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI ini bertujuan merapatkan jurang digital dan sosial, selain mengukuhkan kerjasama antara pelbagai agensi bagi menjayakan pembangunan komuniti setempat.
Antara pengisian menarik sepanjang program ialah Kempen Internet Selamat, pameran aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI, promosi produk usahawan komuniti NADI, Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), saringan kesihatan percuma, bengkel microbit, pertandingan e-Sukan serta pendaftaran ahli NADI baharu.
Kempen Internet Selamat yang memberi fokus kepada pelajar bawah 13 tahun menekankan kepentingan penggunaan Internet secara beretika serta pendedahan terhadap risiko siber seperti buli, pemangsaan digital dan kandungan tidak sesuai.
Sejak mula beroperasi pada 22 Oktober 2019, NADI Sim Sim telah menganjurkan pelbagai program bagi memperkasa komuniti tempatan melalui lima teras utama — Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan. Ramai usahawan setempat berjaya meningkatkan pendapatan dengan memanfaatkan latihan serta sokongan digital, termasuk peluang pemasaran melalui platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan Shopee.
Melalui program keusahawanan NADIPreneur di bawah Perkhidmatan Pintar NADI, lebih ramai usahawan tempatan mendapat pendedahan aspek penting seperti pelan perniagaan, pengurusan kewangan dan strategi pemasaran digital.
NADI Sim Sim merupakan salah satu daripada lapan Pusat NADI aktif di daerah Sandakan, selain NADI Pekan Batu Sapi, NADI PPR Taman Mesra, NADI Taman Mawar, NADI PPR Taman Murni, NADI Kg Sungai Kayu, NADI Sebait Padas dan NADI PPR Taman Gum Gum — yang keseluruhannya memberi manfaat kepada lebih 12,000 komuniti sekitar.
Majlis perasmian turut dihadiri Ahli Parlimen Sandakan, YB Puan Vivian Wong Shir Yee; ADUN Tanjung Papat, YB Datuk Frankie Poon Ming Fung; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin (B); serta Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Tuan Haji Bukhari Yahya.