Ekonomi

Tidak pamerkan harga, peniaga pasar tani jual ayam RM10 sekilogram

Seorang peniaga pasar tani dikesan menjual ayam segar pada harga RM10 sekilogram pada 2 November 2023 selepas kawalan harga dan subsidi ayam ditamatkan.

Dalam tinjauan Suara Merdeka, peniaga berkenaan bukan sahaja menjual ayam segar pada harga RM10 sekilogram malah tidak mempamerkan tanda harga.

Seorang pengguna, Halimatus Jepri, 49, mengakui agak terkejut dengan harga berkenaan memandangkan ia dijual di pasar tani.

“Kita datang ke pasar tani untuk bantu ekonomi peniaga tempatan. Harapnya harga sama murah dengan pasaraya namun sangkaan saya meleset.

“Harganya jauh lebih tinggi berbanding di pasaraya. Kalau pasaraya, ayam segar boleh didapati pada harga sekitar RM7 tetapi di sini, harga agak mahal,” katanya.

Halimatus berkata demikian semasa ditemui Suara Merdeka di sebuah pasar tani di Cheras dan berharap peniaga berkenaan tidak menaikkan harga sesuka hati selepas ini.

Terdahulu, Kerajaan memberi jaminan harga jualan ayam yang diapungkan akan terus berada pada kadar yang munasabah namun berdasarkan tinjauan, ada ayam dijual melepasi harga siling lama iaitu RM9.40.

Sementara itu, pekerja swasta, Abu Bakar Hamdan, 52, berpendapat, Kerajaan perlu mengawal harga barangan harian seperti beras, telur, minyak termasuk ayam.

“Kalau subsidi ditamatkan, peniaga kecil sudah tentu terpaksa tanggung risiko keuntungannya tetapi yang paling sakit adalah pengguna kerana ayam antara makanan harian.

“Penguat kuasa pula jangan hanya buat kerja pada awal pelaksanaan. Tolong datang ke kedai-kedai tanpa uniform. Dari situlah harga sebenar boleh kita kenal pasti,” katanya. – SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button