Nasional

Tiada siapa di dunia pernah tangani krisis Covid-19 – Menteri Pendidikan

DAKWAAN mengatakan Kementerian Pendidikan (KPM) lambat bertindak terhadap status sekolah dalam zon merah akibat peningkatan jangkitan wabak Koronavirus (Covid-19) adalah dinafikan.

Ini kerana, krisis kesihatan yang berlaku sekarang adalah bersifat global dan tiada mana-mana negara pernah berhadapan dengan pandemik sebegini.

Justeru, wajar wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap anak-anak yang pergi ke sekolah terutama mereka yang tinggal dalam zon merah.

Oleh demikian, KPM mendakwa mereka berusaha mencari penyelesaian terbaik dalam memastikan keselamatan pelajar, guru dan kakitangan sekolah dalam zon berisiko tinggi.

“Mungkin ada yang melihat dalam keadaan tertentu kami seolah-olah lambat membuat keputusan. Hakikatnya tidak begitu.

“Tiada siapa di dunia ini berpengalaman menangani krisis Covid-19. Ia tidak pernah berlaku.

“Namun, kita telah mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini apakah pendekatan yang sesuai dalam suasana dan keadaan tertentu.

“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak tentang keperluan untuk menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.

“Saya menghargai segala saranan yang diberikan. Saya sedar kegusaran dan kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah.”

Demikian kata Menteri Pendidikan, Senator Dr. Mohd. Radzi Mat Jidin malam tadi menerusi satu kenyataannya mengenai penutupan 384 sekolah dalam zon merah selama dua minggu mulai hari ini.

Tambah beliau, keputusan yang dibuat adalah penting kerana berdasarkan maklumat dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, Mohd. Radzi berharap semua pihak memahami kekurangan yang menjadi halangan kepada sebarang tindakan dan keputusan dibuat oleh KPM dan kerajaan.

“Sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM adalah berdasarkan penelitian yang mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan KKM dan MKN.

“Alhamdulillah, pengalaman mengajar kita untuk membuat sesuatu dengan lebih baik.

“Sejak PKP mula dilaksanakan, walaupun terdapat kekurangan di sana sini, secara keseluruhannya pengoperasian institusi pendidikan dibawah KPM di sepanjang tempoh ini berjalan dengan baik.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua ibu bapa, guru, murid, PIBG, warga sekolah dan warga KPM secara keseluruhannya.

“Bersama-samalah kita bekerjasama rapat dalam menangani cabaran ini. Insya Allah, kami di KPM akan terus komited untuk melakukan yang terbaik,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button