Politik

Ahli PAS antara ADUN Lantikan Sabah

SETIAUSAHA Perhubungan PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasa dilantik sebagai salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Sabah bagi penggal DUN ke-16.

Selain Dr. Aliakbar, terdapat lima lagi ADUN Lantikan iaitu dua daripada UMNO dan 3 daripada PN.

Pelantikan wakil Pas ke dalam DUN Sabah dianggap sebagai menghargai kerjasama parti itu untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk termasuk Ketua PKR Sabah Datuk Christina Liew menentang pelantikan Pas sebagai ADUN.

Beliau menegaskan cadangan untuk memberikan laluan kepada wakil PAS dilantik sebagai ADUN Lantikan tidak dapat diterima oleh rakyat Sabah memandangkan masyarakat negeri ini terdiri daripada pelbagai lapisan komuniti, agama dan budaya yang sentiasa harmoni bersama.

“Rakyat Sabah mengamalkan prinsip kesederhanaan dan konsep kesatuan dalam kepelbagaian. Kita menentang budaya atau amalan politik pepecahan yang boleh memecah belahkan kaum di negeri ini.

“Kita menentang sebarang ideologi politik yang bertentangan dengan kepelbagaian kaum dan tidak akan menerima sebarang agenda politik yang berdasarkan ekstremisme,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.

Turut menentang pelantikan Pas dalam DUN Sabah adalah Adun Kapayan (DAP), Jannie Lasimbang. Dalam satu kenyataan beliau mendakwa bahawa PAS adalah parti yang tidak terbuka terhadap kepercayaan lain dan dengan wakilnya di dalam kerajaan negeri Sabah akan mengganggu keharmonian agama dan kaum.

“Pelantikan PAS ke dalam DUN, dan lagi teruk dilantik dalam kabinet, akan mengakhiri keharmonian agama dan etnik yang dinikmati dan dipupuk oleh orang-orang di Sabah,” katanya.

Kata Jannie, PAS selalu mengambil pandangan melampau yang didakwa akan memudaratkan semua agama, termasuk Islam, Kristian, Buddha, Tao, Hindu atau kepercayaan orang asal.

“Jika, ahli PAS yang dilantik itu kemudian dilantik sebagai menteri yang menjaga Hal Ehwal Anak Negeri di Sabah, orang asal Sabah akan diabaikan kerana PAS adalah parti ultra-Melayu yang tidak menegakkan atau menghormati pluraliti budaya.

“Prinsip budaya asli penting yang telah diangkat oleh kementerian di bawah kerajaan Warisan Plus, dan penambahbaikan sistem Mahkamah Anak Negeri cenderung diabaikan kerana ini tidak menjadi kepentingan PAS.

“Usaha yang diperkenalkan dan dicapai dalam 26 bulan jauh lebih relevan dengan Sabah daripada Dasar Kebudayaan Nasional,” katanya.-SM

 

 

(Visited 467 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button