Tiada masalah warga China kibar bendera mereka di tanah berdaulat- kata Menteri Pesar Perak
TIADA masalah jika sekumpulan individu di Teluk Intan yang tular di media sosial mengibarkan bendera negara China, asalkan mereka adalah warganegara China kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menegaskan bahawa situasi ini tidak lebih dari hal biasa, sama seperti rakyat Malaysia yang mengibarkan bendera negara kita ketika berada di luar negara.
“Apa yang menjadi persoalan adalah, adakah warganegara China yang berada di Malaysia mengibarkan bendera negara mereka itu satu jenayah? Jika bukan jenayah, maka tidak ada isu. Mereka bukan rakyat Malaysia,” katanya dengan tegas.
Namun, beliau menggariskan kesalahan nyata berlaku jika rakyat Malaysia berketurunan Cina tiba-tiba mengibarkan bendera China, kerana itu seolah-olah mengagungkan negara asing dan mencemarkan identiti nasional.
Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas program Ngopi Siswa USAS dan UPSI bersama Cikgu Saarani, serta penyerahan Wakalah anak syarikat Yayasan Perak. Pelbagai tuduhan dan spekulasi telah timbul selepas kejadian yang berlaku di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, yang tular di media sosial.
Beliau menegaskan bahawa siasatan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menentukan sama ada individu tersebut adalah rakyat Malaysia berketurunan Cina atau pelancong dari China.
“Kita perlu berhati-hati, kerana jika mereka adalah rakyat Malaysia yang berketurunan Cina yang membawa bendera China, itu akan mengundang persepsi yang salah terhadap patriotisme,” tegasnya.
“Orang Malaysia di London pernah berhimpun sambil mengibarkan bendera Malaysia. Itu tidak salah, kerana mereka memang rakyat Malaysia. Namun, dalam konteks ini, kita perlu melihat dengan lebih jelas: adakah mereka yang membawa bendera itu adalah warga tempatan atau pelancong dari luar?”